Pas dilihat masih terus mencanangkan jenama Budaya Politk Matang dan Sejahtera (BPMS) yang mula disebutnya sejak 2016 sebagai pendekatan politik parti itu.
Terbaharu, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengulangi hal yang sama ketika mengulas Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) semalam.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, MoU tersebut dijayakan berasaskan keutamaan kepada negara dalam situasi kritikal berdepan Covid-19 dan masalah bebanan ekonomi rakyat.
Sehubungan itu,Menteri Alam Sekitar dan Air berkenaan berkata, pemimpin politik mesti meletakkan asas utama itu sebagai keutamaan dalam apa jua keputusan.
“MoU ini adalah sejarah baru politik negara dan Pas sudah melaksanakan Budaya Politik Matang dan Sejahtera sebagai pendekatan baru dalam politik,” katanya, lapor Malaysiakini.
Untuk rekod, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga kini masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung detik bersejarah antara Kerajaan Persekutuan dan PH yang merintis kepada kerjasama ‘dwi-partisan’ itu.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, MoU itu juga ditandatangani bagi meredakan suhu politik negara memandangkan rakyat muak dan bosan dengan pertelagahan yang berlaku.
“Pas akan terus berperanan sebagai parti yang meletakkan nilai akhlak dalam perbahasan, dan kemantapan hujah dalam perbahasan,” tambahnya lagi.
Pas diwakili 18 anggota Dewan Rakyat yang sekarang berada dalam kerajaan diterajui Umno, sebelum ini dilihat mesra dengan Bersatu sepanjang tempoh 17 bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Mahiaddin Yassin.
Kedudukan Pas dalam Kabinet XXL yang dianggap ulamanya sebagai perlu kerana ramai orang gila di negara ini dilihat mengukuhkan tanggapan umum bahawa Pas bermain dua ‘kolam’ politik.
Pas bagaimanapun menganggap partinya sebagai penyatu yang memperkasa Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan PN ketika pada masa sama Umno dan Bersatu dilihat saling mencurigai pendekatan politik Pas itu.
Berebutkan sasaran pengundi Melayu dan kawasan pilihan raya luar bandar yang sama dengan Umno dan Bersatu, Hadi bagaimanapun mendakwa sudah mempunyai strategi untuk lonjakan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).