Malaysia Dateline

MoU sahkan keabsahan Anwar Ibrahim sebagai PM10 tak langgar undang-undang

Usul mengesahkan keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) 10 semalam terbukti telah mendapat sokongan dua pertiga majoriti Ahli Dewan Rakyat (MP).

Usul undi percaya terhadap PM dibuat bagi menghilangkan segala keraguan terhadap kesahihan Anwar sebagai PM memandangkan sebelum ini PN mendakwa mereka mempunyai majoriti. Namun begitu ternyata dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak berasas dan hanyalah permainan politik terdesak.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, sebelum usul undi percaya tesebut dibuat, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara lima buah parti komponen yang menyokong kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang mana antara lain memperuntukkan kewajipan menyokong undi tersebut.

“Pemuda Perikatan Nasional (PN) telah mencabar MoU ini dengan dakwaan melanggar undang-undang seksyen 124B dan 124C Kanun Jenayah yang kononnya objek MoU tersebut bercanggah dengan undang-undang atau melanggar polisi awam.

” Antara lain MoU terbabit memperuntukkan setiap parti komponen kerajaan Perpaduan menyokong usul undi percaya terhadap PM. Ia secara tidak langsung dapat menghalang perbuatan mana-mana MP mengundi berlawanan dengan keputusan parti demi mempertahankan semangat undang- undang anti lompat parti.

“Seandainya perbuatan mengundi kehendak sendiri MP dibenarkan, ia sudah pasti melanggar undang-undang anti lompat parti sepertimana yang terkandung dalam Perkara49A, Perlembagaan Persekutuan. Maka itu undang-undang ini adalah sah dan berperlembagaan,” ujar beliau yang juga merupakan Adun Permatang Pasir.

Jelasnya lagi, MoU ini tidak bertentangan dengan amalan demokrasi berparlimen dan oleh itu, seksyen 124B dan 124C Kanun Jenayah tidak terpakai.

Lagipun tegas beliau, MoU ini dibuat dengan persetujuan dan tanpa paksa. Justeru itu dakwaan Pemuda PN yang mengatakan MoU ini dibuat bagi memaksa MP mengundi dan menyokong usul undi percaya ini adalah tidak berasas kerana ia dibuat selaras dengan semangat ‘undang-undang anti lompat parti.

Tambah beliau,’ MoU dan usul undi percaya ini penting bagi menjamin kestabilan politik yang menjadi persoalan pokok dalam pentadbiran negara sejak langkah Sheraton dibuat PN.

Kestabilan politik kata Faiz, amat penting bagi memastikan pemulihan ekonomi dapat dibuat terutamanya membina semula keyakinan pelabur asing terhadap negara ini.

MoU dan usul undi tersebut juga katanya, penting untuk meletakkan hala tuju pentadbiran negara di landasan yang betul serta kompas politik dan pentadbiran negara perlu jitu serta tepat supaya pentadbiran negara dapat berjalan dengan baik dan tuntas.

Ia juga berkata, MoU dan usul percaya tersebut penting bagi menunjukkan sokongan penuh parti-parti komponen kerajaan Perpaduan terhadap kepimpinan Anwar dan agenda reformasi yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan.

Baca juga: Bajet Mini 2023 dijangka akan dibentangkan Anwar di Parlimen hari ini