Malaysia Dateline

MoU tidak hapuskan mainan politik

Sesiapa pun yang menganggap atau berharap pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara beliau dengan Pakatan Harapan (PH) akan menamatkan permainan politik (politicking) adalah naif (naive).

Ini adalah kerana kedua-dua perkembangan itu sendiri adalah sebahagian daripada tindak-tanduk politik – political manoeuvring. Ismail Sabri naik kerana Mahiaddin Md Yasin jatuh. Mahiaddin jatuh akibat mainan politik kluster mahkamah Umno dan penyokong mereka iaitu Geng 15.

Cuma Ismail Sabri mungkin lebih kuat daripada Mahiaddin kerana dia disokong bukan saja oleh partinya sendiri, Umno tetapi juga oleh parti-parti Perikatan Nasional yang lain. Dia juga tidak diasak dengan teruk oleh PH hasil MoU dengan mereka. Namun ini tidak pula bermakna dia kuat dalam partinya sendiri. Rasanya Umno pun berhati-hati juga menyokong beliau kerana takut “terpalit” dengan kerjasama Ismail Sabri dan PH itu.

Kita kena faham yang MoU itu adalah hasil rundingan terus Ismail Sabri dengan PH. Ia bukan di antara parti-parti PN dengan PH. Pas dan Bersatu pun rasanya “panas punggung” juga dengan MoU ini kerana takut dituduh bersekedukan dengan Anwar Ibrahim dan DAP. Sebagai tambahan, Pas sangat benci kepada Amanah.

Belum pun dua bulan Mahiaddin jatuh dan Ismail Sabri naik, perang mulut antara Bersatu dan Umno telah bermula. Dalam pusingan pembukaan silat pulut Pilihan Raya Umum Ke-15 ini, Mahiaddin berkata rundingan pembahagian kerusi sudah bermula tatapi dia belum mendapat maklum balas daripada Umno. Dia kata lagi, proses itu akan diteruskan dengan atau tanpa Umno. Kalau perlu rempuh Umno, Bersatu akan rempuh.

Persoalannya, kalau sebagai Perdana Menteri pun Umno tidak hormat kepadanya, apatah lagilah apabila dia bukan Perdana Menteri lagi dan kewujudan PN sebagai kerajaan sedang dipersoalkan.

Bagi Umno pula, tidak ada sebab ia harus bermesra-mesra dengan Bersatu. Selepas PRU 2018, seramai 16 Ahli Parlimennya melompat menyertai Bersatu. Dengan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, Umno lebih yakin yang ia boleh membunuh Bersatu dalam PRU akan datang.

Jadi tidak hairan kalau Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membalas kenyataan Mahiaddin itu dengan berkata Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu. Dia merujuk kepada ketetapan “No Bersatu, No Anwar, No DAP” yang diluluskan di Perhimpunan Agung Umno Mac lalu. Yang terbaru dia mengalu-alukan “katak-katak” umno yang melompat kepada Bersatu untuk balik semula. Ahmad Zahid mungkin mendapat semangat untuk bercakap besar setelah melihat setiausaha agong partinya, Ahmad Maslan terselamat daripada hukuman jenayah kes pengubahan wang haram dan memberi kenyataan palsu baru-baru ini. Dia hanya dikompaun RM1.1 juta.

Buat masa ini, pendirian Ahmad Zahid adalah Umno bertanding sebagai Barisan Nasional (BN). Ia akan bertanding semula di semua kawasan yang dimenangi dalam PRU 2018. Ini adalah matlamat yang sangat “modest” (sederhana). Dalam PRU lepas Umno menang 54 kerusi Dewan Rakyat. Ia menang satu lagi dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands. Tetapi akibat lompat parti kepada Bersatu, Umno tinggal 38 ahli Dewan Rakyat saja sekarang. Januari lalu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata parti itu akan bertanding 96 kerusi.

Sebenarnya pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sudah pun memberi kelebihan kepada Umno berbanding Bersatu. Yang menjadi masalah kepada Umno adalah kepemimpinan tertingginya yang tercemar dan berpecah-belah. Yang boleh menentukan nasib Umno dan Bersatu adalah Pas. Siapa yang Pas pilih untuk dinikahi akan mempunyai harapan yang lebih cerah.

Buat masa ini Pas nampak lebih cenderung kekal bersama Bersatu. Itu pun bergantung kepada kemampuan Mahiaddin terus meyakinkan parti itu yang Bersatu boleh mengatasi Umno. Masalahnya Bersatu bukan saja semakin lemah kerana kehilangan jawatan Perdana Menteri malah mungkin berpecah menjelang PRU.