MoU tingkatkan pemasaran tiga kali ganda

MoU tingkatkan pemasaran tiga kali ganda

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat menjangkakan peningkatan tiga kali ganda hasil pemasaran produk sayuran dan buahan segar tempatan susulan Memorandum Persefahaman (MoU) pemasaran yang baharu dimeterainya.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Hamzah Bahari berkata pihaknya positif sasaran itu boleh dicapai menjelang 2020 menerusi kerjasama dengan lebih banyak syarikat pemasar tempatan.

“Selain membantu produk peladang tempatan mendapat tempat di pasaran, orang ramai juga mendapat produk berkualiti yang terjamin keselamatannya,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara PPK Kuala Langat dan enam pemasar tempatan di sini, hari ini.

Enam pemasar terlibat adalah Tesco Malaysia, Techno Fresh, Agro Prosesor, CH Leong Global, TF Value Mart dan Syarikat Leong Hock Seng. Ia turut disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Majlis MoU diadakan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa 2018 (MAHA 2018), ekspo pertanian terbesar yang sedang berlangsung dengan tema ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’ di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sehingga 2 Dis.

— BERNAMA