Malaysia Dateline

MP AMANAH hantar usul gesa Azhar kosongkan jawatannya

11 Ahli Parlimen Parti AMANAH telah menghantar usul bagi menggesa Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengosongkan jawatannya.

Dalam satu kenyataan Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata, usul tersebut telah dihantar pada hari ini di bawah Peraturan Mesyuarat 4 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Usul ini dibuat katanya atas alasan tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sepanjang sidang khas pada 26 Julai 2021 hingga 29 Julai 2021 adalah bercanggah dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu katanya, tindakan Azhar Azizan juga membelakangkan dan menafikan fungsi Raja Berperlembagaan dalam konteks prinsip asas sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Kami juga mencadangkan pencalonan Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dilantik semula menjadi Yang diPertua Dewan Rakyat,” katanya.