MP Amanah mahu kerajaan runding kongsi kuota jemaah Malaysia dengan Asean

MP Amanah mahu kerajaan runding kongsi kuota jemaah Malaysia dengan Asean

Malaysia disaran mempertimbangkan langkah perkongsian kuota tambahan jemaah hajinya dengan negara negara di Asia Tenggara bagi memberi peluang lebih ramai kepada rakyat untuk menunaikan ibadat tersebut.

Dr Mohd Hatta Ramli (Amanah-Kuala Krai) berkata, usaha berkenaan dapat menangani isu tempoh giliran yang terlalu lama selain kuota untuk Malaysia yang terlalu kecil berbanding jumlah penduduk di negara ini.

“Kita ada kuota lebih kurang dalam 22,000 kurang daripada 0.1 peratus penduduk Malaysia kerana sedang berlaku penambahbaikan besar-besaran di Tanah Suci.

“Soalan saya kalau kita menunggu giliran seperti yang disebutkan oleh Yang Berhormat Menteri sehingga 83 tahun, kalau orang yang mendaftar pada hari ini hampir-hampir ramai yang tidak akan dapat menunaikan haji sampai akhir hayat.

“Jadi apakah kita tidak boleh menguruskan kuota ini secara regional kita? Kita ada Asean, Indonesia populasinya 250 juta, 0.1 peratus ertinya 250,000 kuota haji dia dan negara lain juga begitu,” ujarnya mencelah ketika soalan tambahan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Dewan Rakyat, 7 April lalu.

Dr Hatta selanjutnya menggunakan Thailand sebagai contoh dengan mempersoalkan kemungkinan kuota jemaah haji untuk negara itu dapat dipenuhi memandangkan populasi penduduk Thailand yang terdiri daripada ramai bukan penduduk Islam.

“Kalau Thailand ada 50 juta tentulah dia boleh dapat 50,000. Adakah seramai itu yang pergi? Apakah tidak boleh kita bercakap atas konteks Asean, kita di mana kita kongsi kuota kita supaya negara yang boleh menghantar lebih ramai menggunakan kuota negara-negara yang tidak menggunakan kuota sedemikian,” katanya.

Walau bagaimanapun, Asyraf Wajdi dalam reaksinya mendakwa Malaysia antara negara paling banyak mendapat kuota tambahan memandangkan hubungan baik Perdana Menteri dengan kerajaan Arab Saudi.

“Tahun lepas (2015) saja untuk pengetahuan kita mendapat 5,000 kuota tambahan tetapi kerana faktor tempoh masa yang amat dekat, kita hanya boleh mengisi 2,875 kuota tambahan dan kita satu satunya negara yang diberikan ‘landing right’ oleh kerajaan Saudi.

“Walaupun lapangan terbang sudah ditutup, tetapi kerana hubungan akrab Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dengan kerajaan Saudi, akhirnya tiga penerbangan kita dapat turun ke Lapangan Terbang daripada Tabung Haji,” jelas Asyraf lagi.

TAGS