MP anjur pertandingan esei “Adakah Pandikar seorang bloody fool?”

MP anjur pertandingan esei “Adakah Pandikar seorang bloody fool?”

Lim Lip Eng

Kecewa dengan tindakan Speaker Dewan Rakyat menangguhkan persidangan atas alasan enggan menjadi seorang yang ‘bloody fool’, ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng dengan sokongan ahli-ahli parlimen DAP mengadakan pertandingan esei bertajuk “Adakah Pandikar seorang bloody fool?”

Sehubungan itu beliau mengundang semua rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk menghantar cerpen atau esei ke laman Facebook rasmi beliau mulai sekarang.

Tulisan paling cemerlang yang menggambarkan tingkah laku Pandikar, jelas Lim akan dipilih sebagai pemenang dan bakal menerima hadiah tunai berjumlah RM2,000; sumbangan beliau dan Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su.

“Semalam di Parlimen, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bertindak menangguhkan perbahasan usul Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta 355, ke sidang seterusnya yang bakal berlangsung antara Julai hingga Ogos.

“Pandikar menjelaskan bahawa tindakan menangguhkan perbahasan tersebut adalah kerana beliau tidak mahu menjadi seorang ‘bloody fool’.

“Tindakan tidak rasional itu adalah suatu penghinaan kepada tugas dan tanggung jawab Speaker – orang nombor tiga paling berkuasa dalam kerajaan persekutuan,” kata Lim.

Menurut Lim, lima rang undang-undang telah ditarik balik malam sebelumnya termasuk RUU bagi meminda Akta Keganasan Rumahtangga sedangkan sehari suntuk telah diberikan bagi pembentangan usul persendirian Abdul Hadi.

Pun begitu, beliau kesal kerana Pandikar telah menafikan hak dan tanggung jawab ahli-ahli Parlimen untuk membahaskan usul itu hanya kerana Pandikar berkuasa berbuat demikian dan tidak mahu menjadi ‘si bahlul’ atau ‘bloody fool’.

“Memandangkan Pandikar telah menafikan hak ahli-ahli Parlimen untuk membahaskan betul-salah usul Hadi, saya ingin mengundang semua rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk menghantar cerpen atau esei ke laman Facebook rasmi (Facebook page) saya dengan tajuk ‘Adakah Pandikar seorang bloody fool?’

“Tulisan paling cemerlang menggambarkan tingkah laku Pandikar akan dipilih oleh saya dan rakan-rakan ahli Parlimen DAP. Pemenang akan menerima hadiah tunai berjumlah RM2,000; sumbangan Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su, dan saya sendiri,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)