Malaysia Dateline

MP Baling mohon maaf, dakwa tiada niat kerana dirinya juga gelap

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling-BN) memohon maaf kepada Ahli Parlimen Batu Kawan (DAP) atas kenyataan berbaur rasis dan seksis yang dikeluarkannya semalam.

Ia selepas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang memulakan sidang Parlimen hari kedua mengarahkan Abdul Azeez menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan ‘gelap’ terhadap Kasthuriraani Patto.

“Maksud saya kawasan itu. Bagi saya adalah penting untuk rakyat tak berdosa di luar sana tahu bahawa saya tak ada sama sekali niat untuk memanggil sesiapa gelap kerana diri saya sendiri pun Allah takdirkan saya gelap.

“Jadi tak ada sebab pun saya nak panggil orang lain gelap. Jadi dengan ini saya menarik balik dan memohon maaf,” katanya dalam sidang Parlimen hari ini.

Semalam, Abdul Azeez mengeluarkan kenyataan berupa gelap dan ‘tak nampak’ terhadap Kasthuriraani.

Ketika itu Kasthuriraani meminta penjelasan daripada Ahli Parlimen Kota Bharu (Menteri Undang-Undang) mengapa ahli Parlimen wanita tidak disenaraikan dalam senarai Ahli Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat yang baharu.

Ia kemudiannya dicelah Abdul Azeez yang berkata, “Gelap, tak nampak.”

Azhar dalam pembukaan Parlimen hari ini, berkata, Abdul Azeez telah diarahkan untuk tidak mengulangi kesilapan tersebut.

“Saya harap semua tak akan guna kata kesat dan ‘offensive’ berbaur perkauman atau seksis,” nasihatnya.