Malaysia Dateline

MP Bandar Kuching saran doktor, tukang cuci hospital diberi elaun khas

Ahli Parlimen DAP Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii menyarankan supaya kerajaan memberi elaun khas kepada doktor di Bahagian Kecemasan dan Trauma (ETD) dan tukang cuci yang bertugas di hospital di seluruh negara.

Mangsa Covid-19 yang pernah mendapat rawatan di hospital itu berkata, doktor di Bahagian Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) serta tukang cuci hospital antara yang perlu diberikan bantuan dan menerima elaun khas RM600 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dalam memerangi pandemik COVID-19 ini.

Beliau berkata, ahli farmasi, penyelaras logistik, pembekal perubatan, pakar psikiatri, psikologi klinikal dan juga kaunselor juga perlu diberikan bantuan.

“Ini selari dengan pekeliling Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini yang menyatakan pekerja penjagaan kesihatan awam layak untuk mendapatkan elaun penuh jika mereka terlibat secara langsung dalam pengurusan COVID-19 dan telah bekerja sekurang-kurangnya 15 hari dalam satu bulan.

“Beberapa pekerja penjagaan kesihatan yang mungkin tidak layak menerima insentif tersebut.

“Sebagai contoh, pihak kami dimaklumkan bahawa doktor bertugas di ETD mungkin tidak memenuhi syarat untuk elaun itu kerana mereka tidak dianggap sebagai sebahagian daripada pasukan COVID-19.

“Namun hakikatnya, doktor dan doktor pelatih, pembantu perubatan, serta jururawat dan kakitangan di bahagian ini juga terdedah kepada risiko jangkitan kerana dalam situasi kecemasan, mereka perlu mendiagnosis pesakit terlebih dahulu,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, satu lagi kumpulan penting yang patut diberi elaun khas ialah tukang cuci hospital dan kakitangan perkhidmatan sokongan.

Dr Kelvin memberitahu, mereka telah memainkan peranan penting dengan membersihkan dan mensanitasikan wad serta seluruh hospital untuk memastikan virus itu tidak tersebar. Mereka juga berisiko terdedah berikutan kekurangan peralatan alat pelindung diri (PPE).

“Ini ditambah lagi dengan keadaan apabila sesetengah pesakit tidak jujur ​​mengenai sejarah perubatan atau perjalanan mereka kepada doktor.

“Sesetengah doktor dan pekerja perubatan juga bekerja secara bergilir mengikut jadual dan mungkin tidak berada di stesen mereka selama sekurang-kurangnya 15 hari.

“Berikutan itu, mereka tidak layak untuk mendapatkan elaun penuh hanya kerana mereka tidak menepati kriteria,” jelas Dr Kelvin lagi yang dipercayai bercakap berdasarkan pengalaman beliau selepas mendapat rawatan baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, ahli farmasi atau pegawai terlibat dalam perolehan peralatan perubatan dan ubat-ubatan serta keperluan penting seperti PPE dan peralatan perlindungan lain juga harus diberikan bantuan.

“Walaupun mereka tidak terdedah secara langsung kepada pesakit, perkhidmatan mereka adalah sangat penting untuk memastikan bekalan dan peralatan sedemikian dihantar ke hospital dan klinik untuk kegunaan orang ramai,” ujarnya.