Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dilihat secara sinis membawa teropong susulan tindakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali petang semalam.
“Tidak pernah saya bayangkan bahawa teropong suatu hari akan menjadi perkara penting di Parlimen.
“Siapa tahu lebih ramai menteri akan membawa plakad dengan tulisan kecil mereka,” katanya di Facebook sebelum sidang hari kedua bermula pagi ini.
Semalam, Azmin mengundang rasa tidak puas hati pembangkang apabila mempamerkan plakad ketika gilirannya berhujah semasa Sidang Khas Parlimen.
Tindakan Ahli Parlimen Gombak yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu mendapat kritikan pembangkang kerana tulisan dan grafiknya tidak dapat dibaca dari tempat duduk mereka.
Bahkan, pereka grafik Fahmi Reza turut menghasilkan karikatur menyindir aksi Azmin itu sebagai menteri paling gagal.