Malaysia Dateline

MP BN akan adakan pertemuan sulit bincang kedudukan Presiden Umno?

Khairy Jamaludin
Khairy Jamaludin

Selepas sidang Parlimen ini selesai, dijangkakan ahli-ahli Parlimen Umno akan mengatur pertemuan sesama mereka bagi membincangkan ‘isu semasa’, perkara ini disahkan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau bagaimanapun, tidak dapat memastikan sama ada pertemuan tersebut akan membincangkan pendirian ahli Parlimen Umno berhubung masa depan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden Umno.

“Saya ada dengar beberapa ahli Parlimen yang menjemput, yang kata kita akan adakan perbincangan tidak formal selepas sidang Parlimen kali ini selesai.

“Saya tak pasti sama ada pertemuan itu ada kaitan dengan ini (status Ahmad Zahid sebagai Presiden Umno) atau tidak, saya tak dimaklumkan, tapi ada mesej mengatakan kita (ahli Parlimen Umno) perlu berjumpa dan berbincang mengenai beberapa isu semasa dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, lapor Sinaronline hari ini.

Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno ketika ditanya sama ada akan menghadiri pertemuan tersebut, beliau berkata, tiada sebarang pendirian mengenai perkara itu kerana Parlimen masih bersidang.

Isu ini timbul susulan laporan sebuah akhbar hari ini, yang mendakwa Zahid bersetuju untuk ‘berpisah daripada Umno’ dan menerima syarat ‘perceraian’ membabitkan perjalanan politik dan kedudukannya pada masa depan.

NST yang memetik seorang ahli Parlimen veteran daripada Umno yang mendakwa 98 peratus daripada 48 ahli Parlimen Umno bersetuju dengan perkara itu, selain menegaskan itu adalah satu-satunya langkah ke depan untuk parti.

Ditanya mengenai dakwaan ahli Parlimen Umno bersetuju dengan ‘pemergian’ Ahmad Zahid yang juga Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Khairy berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

“Saya tak tahu apa-apa. Kalau ada sebarang usaha, mungkin ia tidak membabitkan saya,” katanya.

Mengenai pandangannya berhubung status Ahmad Zahid sebagai Presiden dan ahli Umno, Khairy berkata beliau belum membuat sebarang pendirian buat masa ini.

“Banyak yang dibahaskan, ada pelbagai pandangan dalam Umno dan sebagainya namun buat masa ini, saya belum buat apa-apa pendirian sebab Parlimen masih bersidang.

“Kita perlu fikirkan masa depan parti secara teratur dan mendalam. Ia tidak boleh diselesaikan dalam sidang media atau dengan memberi komen terhadap laporan berita yang saya sendiri tidak tahu,” katanya.