Malaysia Dateline

MP BN-PH ‘khalwat politik’ boleh gugat keyakinan rakyat, pelabur, kata Ibrahim Ali

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini menyifatkan pertemuan 18 Ahli Parlimen Umno dan 6 Ahli Parlimen PKR dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berlaku malam tadi, sebagai khalwat politik.

Presidennya Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, perbincangan tertutup itu menjadikan rakyat semakin pening dan ia juga boleh mengugat keyakinan pelabur di negara ini.

Menurut Ibrahim lagi, rakyat mengharapkan kehidupan yang lebih baik daripada pimpinan politik. Tetapi katanya lagi, ahli ahli dewan rakyat lebih kalut daripada rakyat ke hulu kehilir cari jaminan politik masing-masing.

“Tak cukup makan lagi rupanya walaupun gaji puluhan ribu dan ada yang terima pencen tidak sedikit, selain gaji dan elaun sebagai MP..Ianya lebih memalukan di kalangan MP Umno yang terlibat kerana begitu rapuh jati diri dan harga diri.

“Di kalangan MP PKR bolih di fahami jika DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jadi PM ke-8, maka berpencen lah mereka. Pokoknya survival politik diri dan bukan kerana menjunjung kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata sebagai ahli parlimen sepatutnya banyakkan perbincangan hal ehwal rakyat, mencari idea, dan ke Dewan Rakyat.

Tetapi ujarnya lagi, ada yang datang lewat,datang sekejap sehingga adakala Dewan tidak cukup korum.

“Sepatutnya gunakan masa buat penyelidekkan,bertemu tokoh ilmuan, ahli akedemik cari idea macam mana untuk membela rakyat dari sudut ekonomi,pekerjaan dan 1001 macam hal ehwal rakyat patut di utamakan.

“Tapi jumpa sulit waktu malam bolih.Kalau penting dan bertangongjawab ” dedahkan cara terbuka apa yangg dibincang,jika ianya ada kena mengena dengan kepentingan rakyat atau negara,” tegasnya bekas Ahli Parlimen Pasir Mas ini.

Ibrahim berkata, berita seumpama ini yang dilaporkan media menyebabkan keadaan politik negara dilihat tidak stabil dan pasti memberi kesan kepada ekonomi negara kerana ianya membuat pelabur memberi berbagai reaksi yang negatif.

“Msia sudah jadi negara berpolitik 24 jam sehari.Lain kerja tak ada. Ini semua politik 2 x 5 dan 5 x 2..

“Rakyat berhak tahu apa yg dibincang di rumah Datuk Azmin Ali kerana ianya pertemuan dari dua kumpulan MP parti politik yang bertentangan iaitu Umno dan PKR.

“Pasti ada sesuatu misteri dan rakyat berhak tahu apakah ianya membabit hala tuju negara.

“Jika membisu memang tidak bertangongjawab kerana mengheret rakyat membuat berbagai spekulasi yang tidak baik untuk negara.

“Pandangan dan reaksi 10 sen dari saya yang sentiasa ambil berat hal ehwal rakyat dan negara,” katanya.

Malam tadi beberapa Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengadakan pertemuan di kediaman rasmi Mohamed Azmin.

Antara yang hadir ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (BN-Maran).

Pemimpin lain yang turut hadir ialah Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau); Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) dan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik).

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang turut hadir ketika diminta mengulas lanjut mendakwa tiada apa-apa yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.