Malaysia Dateline

MP BN sokong Ismail Sabri kekal PM hingga habis penggal

Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC) menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga berakhir penggal Parlimen pada tahun 2023.

Ahli Parlimen Padang Rengas dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sokongan itu bagi memberi ruang dan peluang kepada Ismail Sabri untuk menyelesaikan isu rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19 serta melaksanakan pemulihan ekonomi.

Beliau menyifatkan tempoh 100 hari tidak mencukupi untuk kerajaan pimpinan Ismail Sabri menyelesaikan isu rakyat sebaliknya Ahli Parlimen Bera itu perlu diberikan lebih masa untuk mengotakan janji demi kepentingan rakyat.

“Untuk selesaikan masalah rakyat, apa yang kita janji mesti ditunaikan. Sekarang ini baru 100 hari dan tak mungkin dalam 100 hari boleh tunaikan apa yang dijanjikan merangkumi pemulihan ekonomi, Covid-19.

“Kalau nak mempercepatkan pilihan raya, kena luluskan Akta Anti Lompat Parti terlebih dulu. Rakyat tidak mahu perkara ini (lompat parti) berlaku lagi dan kita ada lagi benda nak selesaikan seperti Undi 18, pendaftaran undi automatik.

“Saya sebagai penyokong kerajaan, pertama sekali saya beri sokongan kepada Perdana Menteri kita untuk beliau meneruskan (teraju kerajaan) sehingga tahun 2023 kerana rakyat mahu tahu beliau adalah pilihan untuk lima tahun atau satu penggal.

“Kita kena sokong Perdana Menteri sehingga habis penggal dan kemudian baru adakan pilihan raya,” kata Nazri pada sidang media di Parlimen, hari ini.