Malaysia Dateline

MP cadang bentuk MoU kestabilan, reformasi antara PH dan kerajaan

Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan agar Parlimen menstrukturkan semula Jawatankuasa Pilihan Khas dengan keahlian yang seimbang antara kerajaan dan pembangkang.

Katanya, bagi memperkukuhkan reformasi Parlimen jawatankuasa itu wajar dipengerusikan secara sama rata seperti amalan terbaik di negara-negara maju dan matang demokrasi.

Bekas Menteri Kesihatan juga berkata, dengan menentukan satu tempoh perlaksanaan yang jelas, tuntas dan dipersetujui bersama, adalah amat penting komitmen untuk melaksanakan Memorandum Persefahaman Kestabilan & Reformasi ini, dipacu demi ‘Menstabilkan Politik & Mengeluarkan Rakyat dari Pandemik & Memacu Pemulihan Ekonomi Negara”.

“Doakan agar Memorandum Persefahamaan ini akan dipersetujui, seterusnya dimeterai dan dilaksanakan dengan segala pertangungjawaban dan penuh amanahannya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyambut baik sejumlah penambahbaikan bagi Parlimen dan pentadbiran kerajaan sebagaimana ditawarkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Dzulkefly memberi jaminan komitmen pimpinan PH dalam mempastikan kestabilan negara dijamin dan suhu politik diredakan, seperti yang dititah YDPA dan Timb YDPA adalah amat mustahak dan kritikal.

“Sebagai timbal balik kepada komitmen ini, pimpinan PH menuntut dan mengharapkan supaya kerajaan Ismail Sabri akan turut memberikan sokongan dan komitmen untuk menunaikan beberapa reformasi dan penambahbaikan amalan Demokrasi Berparlimen dan Membuat Komitmen untuk Menambah Dana buat mengeluarkan Negara dari Pandemik Covid-19.

“Antaranya ialah membentang dan meluluskan RUU Anti-Lompat Parti, sekaligus meluluskan RUU Pilihan Raya Pecat atau Recall Election buat menangani secara serius, amalan lompat parti setelah menang pilihanraya.

“Bagi mempastikan penambahbaikan pengurusan pandemik, kerajaan dicadang menambah siling dana RM45 bilion, yang antara lain adalah untuk mengukuhkan sistem kesihatan, menambahbaikan bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya.