Malaysia Dateline

MP cadang TNB beku kenaikan tarif elektrik, beri peniaga ‘bernafas’ semula

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub mencadangkan agar Tenaga Nasional Berhad (TNB) membekukan kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna komersial dan industri sekurang-kurangnya selama dua tahun.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan semua pihak dapat bernafas semula dalam kegawatan ekonomi disebabkan Covid-19.

Bahkan menurutnya, jika diteruskan kenaikan tarif elektrik berkuatkuasa Februari ini kepada para peniaga, secara tak langsung akan meningkatkan harga barang kepada pengguna.

“Kenaikan bil TNB kepada perniagaan akan meningkatkan harga barang atau perkhidmatan kepada pengguna.

“Mengapa tidak kerajaan (melalui) TNB berunding semula dengan syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) dan dapatkan pengurangan 5 hingga 10 peratus dalam kadar sokongan mereka kepada TNB.

“Ini akan memberi kesan positif kepada keuntungan TNB. Malah lebih untung kepada TNB,” ciapnya di Twitter hari ini.

Terdahulu, TNB mengumumkan akan mengenakan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri.

Bagaimanapun, kenaikan tarif elektrik untuk pengguna komersial dan industri bermula 1 Februari ini dibimbangi menjejaskan pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Persatuan PKS (SAMENTA) Datuk William Ng, berkata kenaikan tarif yang disifatkan sebagai ‘surcaj’ di bawah mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang dilihat sebagai kenaikan mendadak.

Katanya, lebih 1.6 juta pengguna komersial dan industri akan membayar antara 11.8 hingga 18.4 peratus untuk penggunaan elektrik, mengikut data Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).