MP curiga keakraban Najib dan Arab Saudi

MP curiga keakraban Najib dan Arab Saudi

Datuk Najib kelihatan gembira seperti budak sekolah berbangga membawa kawan dari keluarga orang kaya pulang ke kampung. Beliau tergamak pula perli dengan sombong rakyat Malaysia dengan menyatakan kita buat bising harga minyak naik 20 sen (menjadi RM2.30 satu liter) sementara rakyat Arab Saudi harga naik 50 peratus (menjadi RM 1.07 satu liter) tak apa apa pun! Sedarkah beliau rakyat Saudi begitu kaya kebanyakan mereka memiliki kereta enjin besar lebih dari 4,000 c.c buatan Amerika?

Mereka pun tidak membayar cukai pendapatan dan cukai kereta seperti kita di sini! Gaji mereka jauh lagi tinggi sementara kita gaji minimum yang diminta pun belum dikuatkuasakan. Sedarkah Najib perit derita rakyat hari ini di Malaysia atau kepalanya senantiasa di awang- awangan? Oh, saya lupa Najib dan Rosmah naik jet eksekutif mewah kerajaan minyaknya dibayar oleh penat peluh nelayan dan petani di kampung. Semuanya ditanggung oleh rakyat marhein. Macam Raja Arab Saudi mewahnya!

Sementara Datuk Najib bermegah-megah dengan kawan kaya Keluarga Di Raja Saudi, rakyat bertanya apakah yang membuat Raja Saudi begitu tertarik dengan Najib dan memilih melawat beliau? Kononnya RM2.6 billion telah diberi oleh keluarga Di Raja pada Najib. Kuota Haji tambahan juga telah di beri kepada Negara di terajui Najib. Dan kini penghormatan negara pertama di kunjungi Raja Saudi dalam lawatan ke Asia juga untuk Najib! Mesti ada sesuatu yang Najib telah membantu Negara kaya ini yang rakyat tidak tahu sehinggakan Raja Saudi sangat sayang pada Najib !

Jawapannya ada kaitan dengan soalan saya di Parlimen awal tahun lepas tentang kenapa Malaysia menyertai Latihan Perang Besar besaran tentera “Operation Northern Thunder” bersama Arab Saudi serta sekutunya yang semuanya terdiri dari Negara Arab dan Afrika dari kawasan rantau teluk dekat Timur Tengah. Dari dahulu sehingga hari ini tiada jawapan yang munasabah diberi dan kerajaan mengelak menjawab soalan ini.

Baru-baru ini saya bertanya pula apakah penglibatan Malaysia bersama Arab Saudi serta sekutunya dari Amerika dan negara barat dalam serangan atas negara miskin Yaman? Sekali lagi kerajaan membisu seribu bahasa.

Di sini saya sekali lagi menuntut kerajaan menyatakan apakah peranan sebenarnya Malaysia dalam serangan sekutu Arab Saudi ke atas Yaman? Jika satu penjelasan tidak di beri, saya akan membawa perkara ini ke Parlimen pada sessi 6 Mac hingga 6 April untuk mendapat penjelasan. Saya telah diberi satu laporan terperinci yang disediakan oleh “sumber rasmi” tentang kekejaman dan serangan kejam ke atas rakyat awam di Yaman yang akan saya bawa ketengah untuk perbahasan rasmi Parlimen. Rakyat berhak mengetahui keadaan sebenarnya di Yaman dan peranan Malaysia.

Pada waktu seluruh dunia menjauhi diri dari Najib kerana siasatan 1MDB di sekurang-sekurangnya 7 negara utama dunia termasuk Abu Dhabi, Kerajaan Arab Saudi pula mendampingi Najib. Pada masa rakyat bergelut cuba mengatasi kos sara hidup, Najib memperlekehkan rakyat Malaysia kerana merungut kenaikan harga minyak 20 sen setiap awal bulan sejak Januari kerana rakyat Saudi, yang kaya, katanya boleh menerima kenaikan harga minyak di negara mereka. Rakyat ingin tahu apakah persefahaman sulit antara Najib dan keluarga di Raja Saudi yang akrab tentang isu Yaman?

Raja Bahrin Shah ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Ketua Biro Antarabangsa Amanah