MP DAP bantu keluarga dengan bayi 6 hari yang dihalau dari rumah sewa

Oleh KIM SYAZIE

Ekoran kekangan wang untuk membayar sewa rumah, sebuah keluarga berbangsa India dengan bayi berusia enam hari telah dihalau daripada kediaman mereka yang terletak di Parlimen Kota Melaka.

Difahamkan, pemuda tersebut yang merupakan ketua keluarga dengan tiga anak kecil itu sebelumnya bekerja di sebuah kilang.

Namun kerana terdesak sehingga tiada wang untuk membeli makanan, dia telah meminjam daripada pihak majikannya dan kemudian diberhentikan dengan gaji akhir yang telah dipotong menyebabkan kekangan wang untuk membayar sewa.

Menerusi satu rakaman video Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong memaklumkan, pihaknya menerima aduan keluarga tersebut dan telah menggerakkan bantuan segera dengan menyediakan sebuah bilik sementara untuk mereka.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan keluarga itu mendapat tempat tinggal lebih baik selepas ini kerana memikirkan si isteri yang baru melahirkan bayi beberapa hari lalu.

“Sejak Jun kami telah menerima banyak rayuan daripada keluarga yang tidak mampu membayar sewa, lebih-lebih lagi ramai yang sudah tidak bekerja selama tiga bulan.

“Kita mungkin boleh membantu beberapa keluarga yang menghadapi situasi ini, namun malangnya tidak semua dapat dibantu,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mengkaji lebih lanjut masalah yang berpunca daripada pandemik dan PKP ini dengan menyediakan dasar atau bantuan untuk keluarga yang menhadapi kesukaran membayar sewa rumah.

Kerajaan PN juga boleh mencontohi negara United Kingdom (UK) yang menyediakan dasar melarang pengusiran penyewa daripada rumah sewa semasa pandemik ini.

“Saya faham bahawa masing-masing menghadapi kesukaran sendiri, tetapi saya tetap berharap tuan rumah dapat lebih bertimbang rasa dan cuba bantu-membantu semampu yang boleh,” Tambah Poay Tiong lagi.