Malaysia Dateline

MP DAP cadang 3 cara bantu penduduk ibukota

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberikan tiga cadangan untuk dilaksanakan bagi meringankan bebanan penduduk ibu kota dalam menghadapi Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang ketiga (PKP 3.0).

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, tiga cadanagan itu adalah mikro kredit, tingkatkan aktiviti ekonomi dan urus sampah dengan cekap.

Bagi beliau, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membuktikan mereka adalah sebuah kerajaan yang gagal.

“Pelaksanaan PKP 3.0 di Malaysia ini jelas membuktikan kerajaan PN tidak dapat mentadbir negara dengan baik,” kata beliau dalam kenyataannya.

Walaupun langkah ini dilihat sebagai sesuatu yang perlu dilakukan untuk membendung penularan wabak COVID-19, pelaksanaan PKP 3.0 secara tergesa-gesa ini banyak menjejaskan kehidupan rakyat kerana kebanyakan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara sarat dengan kekeliruan dan sentiasa berubah-ubah, katanya.

“SOP cacamarba ini bukan sahaja memeningkan rakyat, malahan ia juga memeningkan pihak penguat kuasa.

“Kebanyakan peniaga-peniaga yang sudah bersiap sedia untuk menempuh musim perayaan terpaksa mencari jalan lain bagi menguruskan perniagaan mereka,” kata beliau.

Katanya, banyak perniagaan yang terpaksa menggulung tikar akibat daripada pengumuman PKP 3.0 ini.

“Sudahlah begitu, tiada satu pun figura berkuasa yang tampil kehadapan untuk menangani isu-isu yang berbangkit,” kata beliau.

Berikut adalah cadangan yang dikemukakan beliau kepada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi membantu kehidupan warga kota yang terjejas akibat pengumuman PKP 3.0 yang mendadak ini:

Pertamanya, skim pinjaman mikro bebas faedah sehingga RM5,000 hendaklah diberikan kepada peniaga dan penjaja berdaftar di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pinjaman tersebut boleh diguna pakai oleh mereka sepanjang tempoh PKP 3.0 bagi memastikan perniagaan mereka dapat diteruskan.

Bayaran boleh dilakukan secara ansuran dalam tempoh yang dirasakan sesuai dan sekiranya peminjam tidak dapat membayar hutang tersebut, nama mereka akan disenarai hitamkan daripada memohon apa-apa permohonan di bawah DBKL.

Kedua, beliau menyarankan agar Menteri Wilayah Persekutuan menggunakan sebahagian wang daripada faedah deposit kekal milik DBKL yang berbilion ringgit jumlahnya untuk meningkatkan ekonomi wilayah dengan membantu industri kecil sederhana.

Ketiga, pihak DBKL hendaklah memastikan kawasan kotaraya terurus melalui pengurusan sampah secara berkala dan golongan-golongan terabai seperti gelandangan mendapat perhatian dan perlindungan yang seharusnya sewaktu PKP 3.0.

Dalam masa yang sama, pelaksanaan ini akan dapat memudahkan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mencapai aspirasi wilayah bersih dan terurus, katanya.