Malaysia Dateline

MP DAP dakwa, MKN tolak cadangan Kementerian Kesihatan untuk perintah berkurung

Veteran DAP beranggapan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan agar rakyat mengurung diri mereka sendiri selama dua minggu untuk memutuskan rantaian Covid-19 yang sedang mengganas sekarang membayangkan cadangan beliau telah ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah semalam meminta rakyat Malaysia “mengurung diri sendiri” selama dua minggu untuk membantu Kementerian Kesihatan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, nampaknya ia dibuat kerana cadangannya ditolak oleh MKN,” kata Lim Kit Siang dalam kenyataannya awal pagi ini.

Semalam, Perdana Menteri dan Menteri Kanan Keselamatan mengumumkan syarat yang lebih ketat untuk PKP 3.0 tetapi tidak PKP sepenuhnya (lockdown) sebagaimana yang dijangkakan oleh banyak pihak sebelum ini.

Keputusan itu diumumkan oleh mereka selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri bersidang Jumaat lepas dengan kehadiran semua menteri besar dan ketua menteri.

Selepas keputusan itu diumumkan, Dr Noor Hisham Abdullah membuat kenyataan merayu agar rakyat negara ini mengurung diri mereka sendiri dengan berada di rumah selama dua minggu.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan tempoh dua minggu ini bagi melaksanakan beberapa kesiapsiagaan dalam membendung penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Beliau berkata antara kesiapsiagaan itu ialah ‘stockpilling’ (penyimpanan stok) peralatan dan ubat-ubatan selain melihat susun atur untuk meningkatkan lagi keperluan wad dan unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19.

Justeru, beliau merayu kepada rakyat Malaysia untuk membantu KKM dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri dan keluarga untuk tempoh dua minggu ini agar dapat memutuskan rantaian jangkitan wabak itu dan hospital dapat menampung lebih banyak pesakit yang kian meningkat.

Mesyuarat MKN dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain beliau, anggota MKN adalah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba serta menteri-menteri berkaitan.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Menurut ahli parlimen Iskandar Puteri itu, beliau telah bertanya rakannya yang merupakan seorang doktor perubatan tentang kepiutusan mesyuarat MKN yang diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri semalam, dan jawapannya adalah:

“Daripada perspektif perubatan, hancur

“Daripada pandangan politik, bagus untuk mereka

“Daripada orang awam, rakyat jadi mangsa.”

JANGAN BERPUTUS ASA

Namun, katanya, rakyat negara ini tidak boleh menyerah kalah dengan menuntut kerajaan agar memenuhi harapan tinggi rakyat untuk mengamalkan dasar-dasar awam yang sesuai untuk mengendalikan pandemik Covid-19 dan meratakan lekuk Covid-19 di negara ini.

“Oleh itu, saya meminta Muhyiddin untuk mengetepikan semua pertimbangan lain dan menasihati Yang di Pertuan Agong untuk segera mengadakan sidang Parlimen untuk membentuk Barisan Bersatu Parlimen melawan Pandemik Covid-19,” kata Lim Kit Siang.

Bagi beliau, usaha perlu dibuat agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri berperanan.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, tempat wakil rakyat bersidang itu perlu dibuka segera untuk membincangkan lima perkara demi kepentingan negara ini.

Kelima-limanya adalah:-

  • Mobilisasi nasional
  • Kembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat
  • Pakej rangsangan ekonomi untuk membantu rakyat miskin dan memerlukan
  • Saringan besar-besaran; dan
  • Mempercepatkan proses vaksinasi

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi jaminan 42 ahli parlimen parti itu tidak akan menyokong usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin jika parlimen dibenarkan bersidang untuk membincangkan pendemik Covid-19.