Malaysia Dateline

MP DAP gesa Menteri Kewangan kaji masalah bank enggan lulus permohonan akaun bank baru

Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok menggesa Menteri Kewangan supaya mengkaji masalah penangguhan dan keengganan bank tempatan untuk meluluskan permohonan akaun bank baru oleh persatuan.

Beliau berkata, pejabatnya menerima banyak aduan daripada persatuan-persatuan baru yang telah mendapat kelulusan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menghadapi masalah untuk membuka akaun di bank-bank tempatan.

“Masalah ini telah wujud sejak beberapa tahun yang lepas khususnya selepas berlakunya skandal 1MDB.

“Ia menjadi lebih serius sekarang kerana lebih sekatan dan penangguhan dikenakan oleh pengurusan bank terhadap persatuan yang memohon pembukaan akaun bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ramai pemegang jawatan persatuan memberitahu permohonan membuka akaun di bank ditangguh lama tanpa sebarang alasan oleh pihak bank walaupun mereka telah melalui proses permohonan dan siasatan latar belakang yang rumit oleh pihak bank.

“Penangguhan kelulusan akan menjadi lebih lama sekiranya jawatankuasa persatuan berkenaan mempunyai individu yang dikatakan terdedah dengan politik (Politically Exposed Person).

“Pegawai-pegawai bank yang saya temui tidak dapat memberi alasan yang munasabah kepada saya tentang sebab penangguhan pembukaan akaun bank mereka.

“Ada antara pengurus bank berkata mereka bimbang persatuan yang memohon akan gunakan akaun bank mereka untuk melakukan jenayah seperti “pengubahan wang haram” (money laundering) dan diambil tindakan oleh Bank Negara, seperti dalam kes 1MDB,” jelasnya.

Teresa berkata, pihak bank sepatutnya memberi kemudahan kepada persatuan yang telah mendapat kelulusan RoS tanpa perlu mengambil alih peranan polis ataupun SPRM untuk memantau aktiviti kewangan persatuan malah sengaja menangguhkan permohonan akaun bank mereka tanpa alasan.

“Sebenarnya, bank-bank tempatan telah menghendaki individu, syarikat dan persatuan melaporkan kepada pengurusan bank sekiranya terdapat transaksi wang tunai yang melebihi RM25,000 sejak beberapa tahun yang lepas.

“Dasar ini telah cukup mencegah aktiviti pengubahan wang haram, dan bank tidak harus sengaja menangguhkan permohonan akaun bank baru oleh persatuan tempatan,” ujarnya.

Beliau berpendapat keengganan bank meluluskan akaun baru yang dipohon oleh pihak persatuan bukan sahaja tidak dapat mencegah aktiviti kewangan haram seperti pengubahan wang haram malah dibimbangi akan menyumbang kepada ketidaktelusan pada institusi terbabit.

Hal tersebut berlaku, jelasnya, akan menyebabkan banyak persatuan terpaksa menggunakan akaun bank persendirian untuk mengendalikan aktiviti kewangan mereka, termasuk kutipan dan pembayaran wang bagi pihak persatuan.

“Saya menyeru Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul memandang serius tentang masalah yang dihadapi oleh persatuan-persatuan ini dan mengambil langkah yang wajar untuk mengatasinya,” tambah Teresa lagi.

Baca ‘Hidup rakyat tidak seindah dulu, RM100 seperti tiada apa boleh dibeli’ kata DAP Bintulu