Malaysia Dateline

MP DAP gesa PM, Menteri Wilayah luluskan segera bantuan tunai mangsa banjir sebelum Hari Raya

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menggesa Perdana Menteri dan Menteri Wilayah untuk segera meluluskan bantuan tunai sebelum Hari Raya sekurang-kurangnya RM1,000 bagi mangsa banjir terkesan di ibu negara semalam.

Beliau berkata, banjir kilat petang semalam menenggelamkan beberapa lokasi seperti Kampung Segambut Luar, Kampung Segambut Dalam, Kampung Masjid Segambut, Kampung Segambut Bahagia, Kampung Segambut Bahagia Tambahan, Kolam Air dan Kampung Kasipillay.

“Saya telah sempat melawat beberapa lokasi semalam dan berjumpa dengan penduduk yang terkesan.

“Hasil tinjauan di tapak telah menunjukkan kerosakan harta benda yang teruk. Banyak rumah telah dimasuki air sedalam dua kaki dan ramai penduduk terpaksa membuang tilam dan perabot rumah.

“Terdapat juga pelajar yang mengalami kerosakan buku dan beg sekolah. Kenderaan juga rosak akibat ditenggelami air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kira-kira pukul 4 petang semalam, sebanyak 14 laluan utama di ibu negara telah dinaiki air menyebabkan ribuan kenderaan terperangkap antaranya di Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Kuching, Jalan Semantan, alan Travers dan Jalan Maarof di Bangsar.

Sehubungan itu, Hannah berharap agar kerajaan meluluskan bantuan tunai bagi mangsa terbabit memandangkan banyak persiapan menyambut Hari Raya terjejas dengan teruk.

Dalam masa sama, Hannah menegaskan bahawa keperluan mencari jalan penyelesaian kepada masalah banjir di Kuala Lumpur semakin kritikal apabila kerosakan harta benda dianggarkan berjuta-juta setiap kali bencana itu berlaku.

“Alasan taburan hujan yang tinggi sudah tidak boleh digunapakai jika modus operandi kerajaan masih tidak berubah.

“Ini sudah tahap bencana setiap kali ia hujan di Kuala Lumpur,” tegas Hannah lagi.