Malaysia Dateline

MP DAP gesa siasatan terperinci dakwaan peguam boleh ubah keputusan mahkamah

Dua Ahli Parlimen DAP, menggesa kerajaan melakukan siasatan terperinci berhubung laporan polis yang dibuat Ketua Hakim Negara terhadap dua orang peguam kerana mendakwa keputusan dibuat Badan Kehakiman boleh dipengaruhi.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking berkata, sebelum ini bekas Ketua Polis Negara (KPN) juga pernah mendakwa terdapat campur tangan pihak Eksekutif semasa beliau menjalankan tugasnya.

Justeru tegas mereka, dakwaan yang melibatkan soal kebebasan badan kehakiman, profesion undang-undang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh dipandang ringan.

“Kami menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menyiasat laporan polis yang telah dibuat.

“Siasatan yang terperinci mesti dilakukan dengan segera dan hasil siasatan perlu dibentangkan untuk pengetahuan semua.

“Rakyat berhak mengetahui kebenaran ini dan kedudukan tiga institusi penting negara mesti dipelihara dan dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 7 Jun lalu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat melalui pegawai khasnya telah membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang peguam yang membuat kenyataan tidak senonoh dan boleh menjejaskan imej badan kehakiman.

Laporan dibuat setelah tular satu WhatsApp yang didakwa dari seorang peguam kepada anak guamnya yang merupakan syarikat asing besar dan mendakwa boleh mengatur keputusan mahkamah.

Bagaimanapun, dua peguam terbabit telah membuat laporan polis menafikan mempunyai sebarang pengetahuan terhadap mesej teks tular yang mengaitkan nama mereka bercakap mengenai perkara yang boleh mencalarkan imej badan kehakiman.

Tangkap layar mesej teks menamakan mereka yang kononnya meminta supaya perkara yang belum selesai “diselesaikan” di mahkamah, diterbitkan oleh editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Sementara itu, dua Ahli Parlimen DAP terbabitkan mengingatkan, Badan Kehakiman yang bebas adalah asas kepada sistem demokrasi dan masyarakat.

Selain itu katanya, sebuah badan kehakiman yang bebas terletak di antara rakyat dan pihak Eksekutif untuk menjadi benteng bagi melawan penyalahgunaan kuasa Eksekutif.