Malaysia Dateline

MP DAP minta parti politik bincang tawaran Mahiaddin

Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming mencadangkan agar semua parti politik duduk berbincang segera bagi mengkaji cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

“Saya fikir semua parti politik berbincang segera apakah segala syarat-syarat ini diterima atau tidak,” kata ahli parlimen Serdang itu menerusi twitternya.

Mahiaddin dalam ucapan khasnya jam 6 petang tadi menawarkan agar pembangkang menyokong kerajaan beliau dalam undi percaya dan beliau akan memastikan kleptokrat tidak kembali berkuasa.

Pembangkang yang dimaksudkan beliau dipercayai Pakatan Harapan dan penyokongnya kerana Mahiaddin menyebut “tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah” yang dipercayai ditujukan kepada Datuk Seri Najib Razak, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan penyokong mereka yang kini berhadapan dengan dakwaan di mahkamah.

Sebelum ini, seorang lagi MP DAP, Tony Pua menyuarakan kebimbangan kalau-kalau kleptrokrat kembali berkuasa sebagaimana Perak dalam krisis yang berlaku sekarang.

“Sekiranya, mana-mana pemimpin Umno menjadi PM, tidakkah semua kleptokrat akan dibebaskan (atau mungkin juga memperoleh kembali kuasa)?

“Masa depan negara tergantung pada keseimbangan. Apa yang berlaku dalam beberapa minggu akan datang boleh membawa kesan yang besar untuk tahun-tahun yang akan datang.

“Masa untuk berfikir panjang dan berfikir betul-betul,” jelas Pua yang mempersoalkan antara dilema yang mungkin berlaku sekiranya kerajaan Perikatan Nasional tidak lagi mendapat sokongan majoriti.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad pula sebelum ini mencadangkan agar Mahiaddin kembali menyokong Pakatan Harapan.

Khalid berkata, cadangan itu dikemukakan memandangkan Muhyiddin secara jelas sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen susulan keputusan Umno menarik sokongan terhadap beliau.

“Seruan kepada Muhyiddin setelah beliau menyebabkan seluruh negara porak-peranda selepas ‘Langkah Sheraton’, beliau perlu meletakkan PH menjadi kerajaan semula dengan kembali menyokong kami.

“Muhyiddin kena meletakkan jawatan sebagaimana dilakukan (bekas Perdana Menteri dua kali) Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lalu, serah kembali kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan siapa yang mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

“Dengan Muhyiddin kembali ke pangkal jalan, PH sudah cukup majoriti untuk bentuk kerajaan dan kami akan usahakan pula pembentukan kerajaan perpaduan dengan memujuk Umno menyertainya,” katanya kepada Sinar Premium hari ini.