Malaysia Dateline

MP DAP nasihatkan Zhuliang buat laporan polis terhadap Khairy

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak sepatutnya mengaitkan tuduhan jenayah ke atas ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang yang akan tamat tempoh kontraknya penghujung Disember ini, untuk tidak memperbaharui kontraknya.

Kata Lim, Khairy dilaporkan berkata, alasan utama kontrak jurulatih tersebut tidak disambung kerana adanya budaya dan persekitaran menakutkan dalam kalangan penerjun negara kita yang membawa kepada insiden-insiden kes rogol, gangguan seksual, keganasan, buli dan peras ugut.

Lim Lip Eng

“Khairy merujuk kepada kes bekas jurulatih negara Huang Qiang yang dituduh merogol seorang penerjun negara sebelum ini, iaitu pada Oktober,” kata peguam DAP itu.

Menurutnya, negara terkejut dan tidak percaya dengan tuduhan berat yang dibuat oleh menteri berkenaan terhadap Zhuliang yang membawa intonasi jenayah.

Pada masa sama, menteri tersebut mengakui kejayaan Zhuliang sejak memikul tugas berkenaan dalam 2008 dan bahawa Zhuliang tidak terlibat dalam insiden-insiden jenayah tersebut, tetapi dari sudut yang lain pula Zhuliang bertanggungjawab kerana “membenarkan insiden sedemikian merebak”.

“Apakah kementerian Khairy telah berkali-kali membuat aduan kepada polis mengenai tindak tanduk Zhuliang dalam mewujudkan “budaya dan persekitaran menakutkan dalam kalangan penerjun negara kita” juga membiarkan insiden-insiden jenayah seperti “rogol, gangguan seksual, keganasan, buli dan peras ugut”?

“Khairy tidak perlu memberikan apa-apa alasan untuk tidak memperbaharui kontrak Zhuliang yang akan tamat pada 31 Disember 2017 ini dan kementerian Khairy juga tidak mempunyai sebarang tanggungjawab undang-undang untuk memperbaharuinya.

“Akan tetapi, apabila menteri berkenaan menyuarakan kebimbangannya mengenai kemungkinan kesan yang memudaratkan berlaku ke atas pasukan penerjun negara kita, dan inilah alasan mengapa kontrak Zhuliang tidak diperbaharui, sudah pastilah terdapat bukti kukuh terhadap tuduhan Khairy itu.

“Di bawah undang-undang Malaysia, seseorang yang dituduh, termasuk Huang Qiang, dianggap tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah. Apakah Khairy tidak tahu bahawa tuduhan beliau boleh menghancurkan kehidupan seseorang yang tidak bersalah?” katanya lagi.

Zhuliang menafikan semua tuduhan Khairy dan apa yang dimahukan oleh Zhuliang adalah balik ke China untuk menjaga keluarganya, kata Lip Eng.

“Bagaimanapun beliau dinasihatkan membuat laporan polis atas fitnah jenayah jika beliau tidak mahu menanggung rasa malu dan bersalah sehingga ke liang lahad.

“Beliau juga boleh menuntut ganti rugi atas reputasi buruk yang berlaku melalui mahkamah sivil kita ke atas Menteri Belia dan Sukan,” katanya.