MP desak Pahang pulihkan bekas lombong bauksit

MP desak Pahang pulihkan bekas lombong bauksit

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mendesak kerajaan negeri Pahang mengambil tindakan segera bagi memulihkan kawasan bekas lombong bauksit.

Beliau berkata langkah itu tersekat di peringkat pentadbiran negeri kerana kerajaan persekutuan tidak ada kuasa untuk menangani masalah itu.

Beliau berkata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Parlimen pada tahun lalu bahawa kerajaan negeri perlu menangani isu itu.

“Wan Junaidi kata dia akan lakukan sesuatu jika tanah itu di bawah bidang kuasa persekutuan. Tetapi isu tanah tempatan di bawah kerajaan negeri,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Fuziah berkata selepas melihat perjanjian antara negeri dan pemilik tanah di mana lombong bauksit diwujudkan, didapati tiada ketetapan untuk pemulihan tanah itu.

“Jadi siapa yang akan bertanggungjawab memulihkan bekas tapak lombong bauksit itu? Kerajaan negeri tidak boleh melepaskan tanggungjawab itu. Jika milik syarikat, ia boleh buat. Agensi kerajaan lain patut membantu,” katanya.

Tahun lalu, dalam jawapannya kepada soalan dikemukakan di Dewan Rakyat, Wan Junaidi berkata tanah seperti itu boleh dipulihkan semula tetapi prosesnya mengambil masa sehingga 50 tahun.

Ahad lalu, tiga kanak-kanak lemas dalam lombong bauksit tinggal di Kuantan. Pada Oktober 2015, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun lemas ketika bermain di lombong bauksit lama.

Fuziah berkata kanak-kanak memang sering berenang dalam tasik lombong.

“Lombong itu perangkap maut untuk kanak-kanak yang suka dengan air,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu bertindak cepat dengan mengisi tanah atau memagar kawasan lombong yang tidak digunakan lagi kerana hujan lebat dijangka melanda Kuantan pada penghujung musim monsun ini.

“Masih banyak tasik lombong yang sudah tidak digunakan lagi terletak berhampiran kawasan perumahan di pinggir Kuantan.

“Tasik ini dalam dan mengandungi sisa lombong serta logam berat. Ia menjejaskan kesihatan dan hujan lebat akan menyebabkan air melimpah ke kawasan sumber air tempatan,” katanya lagi.

TAGS