Malaysia Dateline

LIVE: MP dihalang masuk Parlimen, MP pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka

Ahli Parlimen yang berkumpul di perkarangan Parlimen hari ini dihalang dari memasuki kawasan bangunan Parlimen pagi dan membuat keputusan bergerak ke Dataran Merdeka.

Menurut  ahli parlimen Tuaran,  Wilfred Madius Tangau (Upko), selepas di halang memasuki Parlimen, mereka mengambil keputusan bergerak ke Dataran Merdeka.

“Semua pintu di sekat dan kita tidak boleh masuk. Jadi kami bergerak ke Dataran Merdeka,” kata beliau menerusi FB Live hari ini.

Selain beratus-ratus anggota polis, turut di tempatkan di perkarangan bangunan Parlimen adalah Black Maria, seolah-olah memberikan amaran bahawa mereka yang engkar akan ditangkap dan di bawa ke balai polis.

Semalam, ahli-ahli Parlimen pembangkang memutuskan untuk terus ke Parlimen walaupun Setiausaha Dewan Rakyat mengumumkan tidak ada sidang pada hari ini.

Pengumuman itu dibuat berdasarkan arahan perdana menteri.

Siaran secara langsung oleh Malaysia Dateline melalui FB Live.

Wilfred adalah antara ahli parlimen yang berkumpul di depan Parlimen sejak jam 9.15 pagi lagi.

Turut kelihatan adalah ahli parlimen dari PKR, DAP dan juga AMANAH.

 

PAC DIBENARKAN MASUK DAN BERSIDANG

 

Polis membenarkan kereta yang membawa Pengerusi PAC, Wong Kah Woh masuk ke bangunan Parlimen selepas berunding dengan polis.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh juga disekat dari masuk ke Parlimen untuk menjalankan sidang PAC hari ini.

Menurut beliau, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Norhisham Abdullah dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dijadulkan menyertai sidang khas PAC itu jam 10.30 pagi ini.

“Saya difahamkan kedua-dua mereka telah berada di dalam bangunan Parlimen,” kata Wong kepada pegawai polis yang menyekat laluan masuk ke sana.

Beliau kemudiannya telah dibenarkan masuk oleh polis selepas seorang pegawai kanan polis memberikan kebenaran kepada anggota PAC untuk masuk.

Prosiding ini adalah untuk membincangkan pembelian vaksin dan pemberian vaksin.

Pada jam 9.40 pagi, pihak polis memberikan kebenaran untuk semua anggota PAC masuk.

 

MP BERKUMPUL DI DATARAN MERDEKA

Kesemua presiden parti pembangkang dan  ahli Parlimen mereka telah berkumpul di Dataran Merdeka.

Antaranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng,  Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal, Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan juga Presiden Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Turut hadir adalah Baru Bian, Presiden Parti Sabah Bersatu (PSB).

MP Pembangkang di Dataran Merdeka.

 

Mukhriz, Presiden Pejuang berucap. Semua Presiden dan ketua parti pembangkang hadir.
Baru Bian juga berucap di Dataran Merdeka.
Mohamad Sabu menuntut kerajaan PN turun kerana mereka telah melanggar rakyat bukan sahaja raja dan menutup Parlimen.