Malaysia Dateline

MP disaran boikot sidang Parlimen 26 Julai, jika datang sekadar dengar penerangan

Memandangkan sidang parlimen yang telah diumumkan bermula 26 Julai hingga 2 Ogos itu adalah Mesyuarat Khas, Ahli Parlimen terutama dalam kalangan pembangkang dicadangkan supaya memboikot persidangan itu.

Adun Durian Tunggal Datuk Sofi Wahab berkata, mesyuarat khas yang tidak ada sesi soal jawab itu seolah-olah hendak memperbodohkan Ahli Parlimen kerana mereka tidak boleh mengutarakan pandangan atau krtikan.

“Kerana ia lebih kepada sesi penerangan yang bermaksud satu hala sahaja sekali gus tidak mencerminkan peranan sebenar parlimen sebagai semak dan imbang kepada kerajaan jika sesi penerangan hanya dibenarkan,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Katanya, jika persidangan itu  sebagai sesi penerangan ia tidak perlu dibawa ke sidang parlimen sebaliknya lebih baik disiarkan secara langsung di kaca TV atau radio.

“Menteri menteri boleh bagi penerangan melalui siaran langsung seperti di stesen TV atau radio. Ahli Parlimen sekadar dengar sahaja jadi tidak perlu buat sidang parlimen,” kata beliau.

Keputusan kerajaan PN buat sidang khas parlimen ini katanya benar-benar telah mencabar YDPA supaya sidang parlimen diadakan.

“Mengapa kerajaan cuba mengaburi mata rakyat dengan membuat sidang khas yang tidak pernah dilakukan ia bertenangan dengan fungsi parlimen itu sendiri.

“Boikot sahaja jika MP tidak diberi peluang untuk bercakap atau beri pandangan dan soal balas,” katanya.

Baginya kerajaan PN hari jelas sebuah kerajaan tidak berwibawa, penakut dan tidak berani berhadapan dengan pembangkang.

“Mereka tidak sepatutnya takut kerana saya yakin parlimen bukan tempat hendak berpolitik tetapi tempat mencari jalan keluar permasalahan Covid-19 yang semakin meruncing

“MP dalam kalangan pembangkang sudah tentu bersiap sedia untuk berucap dengan idea-idea dan cadangan yang baik untuk diketengahkan kepada kerajaan bagi menangani pandemik ini.

“Kerajaan ternyata gagal seperti tidak ada idea atau perancangan dan langkah langkah yang berkesan untuk mengatasi masalah ini,” katanya.