Malaysia Dateline

MP Gelugor gesa SPRM, AG siasat rekod suara didakwa cuba beli MP guna jawatan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat segera satu rekoding suara yang tersebar ketika ini dipercayai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merancang untuk membeli sokongan Ahli Parlimen dengan tawaran jawatan dalam syarikat berkait kerajaan (GLC).

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menegaskan, SPRM bersama-sama Peguam Negara perlu menyiasat perkara tersebut secara menyeluruh tanpa berat sebelah.

Beliau berkata, tiada keraguan bahawa tawaran dan penerimaan jawatan sebagai Menteri atau GLC adalah satu bentuk tindakan yang berkait dengan rasuah seperti yang tertakluk dalam Undang-Undang SPRM, 2009.

“Sekiranya rakaman tersebut terbukti sahih, kedua-dua pihak yang membuat dan menerima tawaran seharusnya didakwa di mahkamah kerana terlibat dalam amalan rasuah.

Rakaman yang tular di media sosial mengenai pembelian MP menerusi GLC.

“Ini akan meletakkan pemerintahan Perikatan Nasional (PN) sekarang dalam kedudukan yang paling tidak menentu.

“Malah, penawaran jawatan, sama ada jawatan menteri atau GLC kepada anggota parlimen di PN, nampaknya sudah berlaku sejak PN mengambil alih pemerintahan yang konsisten dengan apa yang dikatakan dalam rakaman tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, audio yang tersebar itu didakwa dirakam pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada 23 Februari lalu.

Dalam rakaman itu, seorang lelaki yang suaranya mirip dengan Muhyiddin, mengatakan bahawa ahli parlimen Umno akan bergabung dengan Bersatu jika mereka ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kalau dia (ahli parlimen Umno) tahu kerajaan baru nak terbentuk, Umno masuk, ‘why don’t you come in now, why don’t you join us now rather than you join later?’ (Kenapa tak sertai kami sekarang, daripada sertai kemudian?)

“Lebih-lebih lagi kalau ada jawatan. Tak jadi menteri, jadi chairman of GLC (pengerusi GLC),” kata suara itu.

Difahamkan, sumber yang hadir dalam pertemuan tersebut mengesahkan bahawa rakaman itu sahih.

Dalam pada itu, Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen DAP itu berkata, rakyat berhak mengetahui apakah rakaman tersebut sahih.

Sekiranya benar, beliau berkata, adakah Ahli Parlimen PN ketika ini akan terus bergabung dengan kerajaan tersebut, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih secara demokratik.