MP Hulu Langat dan Adun Dusun Tua bekerjasama baiki bumbung rumah warga emas, anak OKU

MP Hulu Langat dan Adun Dusun Tua bekerjasama baiki bumbung rumah warga emas, anak OKU

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat dan Dun Dusun Tua semalam telah membaiki bumbung rumah seorang warga emas yang tinggal bersama seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilanda ribut baru-baru ini.

Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus berkata, selepas lawatannya di rumah itu hatinya sayu apabila mengenangkan nasib dua beranak itu.

“Setelah membuat lawatan, semakin bertambah kesayuan di hati apabila rumah itu dihuni oleh warga emas yang menanggung dan menjaga anak lelaki OKU mental.

“Kami benar-benar tersentuh apabila melihat rumah itu dimasuki air apabila hujan.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia, sebagai seorang yang mengaku beriman, tentunya hati kita akan sayu melihat rumah kediaman seseorang yang telah uzur, dilanda ribut.

“Saya berasa bersalah dan berdosa membiarkan rumah seorang hamba Tuhan, rakyat Malaysia diuji di hadapan mata saya begitu sahaja tanpa melakukan sesuatu.

“Saya membuat keputusan untuk memastikan kerja pemulihan dilakukan walaupun hari Ahad (semalam),” ujarnya dalam kenyataan di laman facebook.

Bumbung rumah yang rosak akibat ribut melanda baru-baru ini.

Hasanuddin yang juga Naib Presiden AMANAH berkata, beliau sempat membisikkan kepada Adun DUsun Tua Edry Faizal Eddy Yusof untuk bersama melakukan kerja pemulihan bumbung rumah yang didiami dua beranak itu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada salah seorang urusetia Parlimen Hulu Langat yang bertindak pantas melakukan tugas membaiki bumbung rumah warga emas dan anaknya itu.

Beberapa keping gambar yang dimuat naik mendapat pujian netizen. Dalam komen balasnya kepada netizen Hasanuddin berkata:” This is new Malaysia (Inilah Malaysia Baru).

Beliau membalas komen Jeffy Yap Peong Yoon yang berkata:”Ustaz Hj Hasanuddin with supper reaction and prompt action on the Chinese area trouble. This is an eye opening to the Chinese community with your efficiency service and support to them. Your kindness and generosity will prevail in them. Well done.”

Murad Adam pula berkata:”Syukur Alhamdulilah serta Tahniah diucapkan atas segala usaha YB Ustaz Hasanuddin dan YB Edry Faizal hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.Aamiin”

Ada juga netizen yang mencadangkan usaha dilakukan itu diperluaskan bukan sahaja hanya membaiki rumah kediaman.

Kata Kiroc-hdpe Harffizi:” Selain daripada tempat berteduh, tolong tengokkan jalanraya JKR atau PBT.Minta ahli majlis rajin kerap buat rondaan sambil mencari ahli masyarakat memerlukan,” ujarnya.

Hasanuddin berkata perkara itu dalam pemerhatian dan mengharapkan netizen terus memberi teguran.

“On going. Teruskan memberi teguran”. ujarnya.

Hasanuddin ketika mengunjungi rumah milik warga emas dan anak OKU pada Ahad.