Malaysia Dateline

MP Hulu Langat huraikan apa masalah veteran tentera sebenarnya

Ahli Parlimen Hulu Langat Hassanuddin Mohd Yunus hari ini menghuraikan apa masalah yang dihadapi veteran tentera sebenarnya.

Naib Presiden AMANAH itu juga mengemukakan beberapa fakta penting seperti penubuhan Askar Melayu pada 1933, Tanah Melayu mendapat kemerdekaan 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963 perlu dalam ingatan.

“Mengapa sehingga hari ini Veteran ATM masih merasakan terabai?” soal beliau.

“Kita tercari-tercari siapakah yang pernah berjanji kosong kepada mereka dan pernah mempergunakan mereka untuk kepentingan tertentu.

“Apakah ada yang menjanjikan “bulan & bintang” kepada mereka selama ini?” soalnya lagi.

Katanya, mantan panglima-panglima ATM dan panglima ketiga-tiga cabang ATM sudah puas memperjuangkan nasib veteran tetapi di manakah silapnya.

Hassanuddin juga berkata, salah seorang mantan YB Menteri Pertahanan pernah membentangkan Kertas Putih Pertahanan dan veteran ATM adalah salah satu penerima manfaat selain angkatan tetap, sukarela, warga awam dalam Kementerian Pertahanan.

MP Hulu Langat huraikan apa masalah veteran tentera sebenarnya...
Hassanuddin hadir dalam program Simposium Permasalahan Veteran ATM hari ini

“Namun 22 bulan dan pertukaran kerajaan secara mengejut telah menggagalkan usaha kerdil namun murni terhadap kebajikan veteran.

“Apakah ini semua kegagalan pemimpin politik Kementerian Pertahanan sejak merdeka?

“Atau apakah telah tiba KSU Kementerian Pertahanan sepatutnya dilantik dari kalangan pasukan beruniform sendiriu,” katanya lagi.

Baru-baru ini pada 6 Jun 2022, lebih seribu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhimpun di Tugu Negara bagi menyuarakan 3 tuntutan utama mereka iaitu penyelarasan pencen, pemberian pencen kepada veteran yang tidak menerima pencen dan membuka ruang pengampunan kepada veteran ATM agar mereka menerima pencen serta diiktiraf sebagai veteran.