Malaysia Dateline

MP Islam, pilihlah yang berakhlak bukan perosak

TERKINI: Tidak ada sidang khas pada 2 Mac di Dewan Rakyat. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof pada 28 Februari 2020.

 

Sidang Dewan Rakyat khas pada 2 Mac ini akan menentukan Perdana Menteri kelapan selepas Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan baru-baru ini. Maknanya setiap undi Ahli Parlimen (MP) di Dewan Rakyat ini besar ertinya kepada kedudukan agama Islam, orang Melayu dan seterusnya negara ini.

Dalam situasi ini, masa depan berada di tangan 222 Ahli Parlimen – Islam dan bukan Islam. Maka situasi yang genting ini sangat menuntut kebijaksanaan dan tanggungjawab Ahli Parlimen Islam untuk mengenepikan seketika politik parti demi Islam, Melayu dan negara.

Antara nama-nama yang disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri ialah Muhyiddin Yassin dari parti Bersatu dan Anwar Ibrahim dari PKR.  Untuk makluman Anwar Ibrahim mendapat sokongan padu daripada DAP dan Amanah.

Malah inilah masanya untuk pemikiran politik budaya mengatasi politik parti.  Politik parti melihat keuntungan daripada skop yang peribadi, kecil dan  jangka singkat – kepada juak-juak penyokong sahaja. Tetapi sekiranya Ahli Parlimen Islam  mengutamakan politik budaya,  calon Perdana Menteri pilihan mereka tentulah yang menepati garis Perlembagaan dan moral serta susila.

Sejak Ahad hingga hari ini (Jumaat),  perbahasan hanya di sekitar perundangan atau Perlembagaan. Tanpa menafikan peri pentingnya menepati garis Perlembagaan, tetapi kualiti individu sebagai seorang Islam juga sangat perlu diambilkira.

Individu yang akan dipilih bukan sahaja Islam tetapi pada masa sama seorang yang boleh diteladani akhlak dan susila.  Seorang yang berakhlak dan bersusila bukan sahaja tidak menerima rasuah, menyalahguna kuasa tetapi juga akhlaknya  sebagai seorang Islam.  Maka bertanyalah dengan jujur,  dia berakhlak atau tidak dari neraca agamanya?

Bagi seorang pemimpin, dosa peribadi adalah dosa umum kerana keperibadiannya akan memberi kesan yang buruk kepada rakyat yang dipimpin. Kesan terhadap dasar-dasar yang menyanggah dosa-dosa peribadinya dan yang paling bahaya kemungkinan dia menjadi pelindung kepada gerakan yang selari dengan keruntuhan akhlaknya.

Maka pada 2 Mac ini semua Ahli Parlimen Islam perlu mempunyai gagasan jangka panjang untuk membentuk politik budaya bukan politik parti. Dengan kata lain tanggungjawab Ahli Parlimen Islam adalah membentuk dominasi Melayu Islam. Ini bukan rasis.

Dengan komposisi Ahli Parlimen Islam yang majoriti,  sudah tentu tidak sukar untuk mewujudkan satu dominasi politik budaya yang mendepankan citra Islam yang sejagat sifatnya.  Mereka mesti memperjelaskan bahawa tidak ada negara yang didominasi politik bercitra Islam menzalimi bukan Islam.

Hanya negara dominasi bukan Islam yang menzalimi minoriti Islam – Myanmar misalnya menzalimi etnik Islam Rohingya,  India yang didominasi Hindu menzalimi minoriti Islam dan  Thailand  yang didominasi penganut Buddha  menzalimi  Melayu Islam di wilayah selatan serta beberapa negara lain.

Tugas penting kedua semua Ahli Parlimen Islam pada 2 Mac nanti memilih seorang Islam yang berakhlak dan bersusila serta teguh pegangan Islamnya. Sekiranya seseorang individu itu termasyur dengan kisah-kisah silam yang bertentangan dengan Islam, sudah tentu tidak  wajar diangkat sebagai calon pemimpin nombor satu negara.

Mereka (Ahli-Ahli Parlimen Islam)  mesti bertanggungjawab sekiranya memilih individu yang selari ideologi politik parti tetapi ternyata bercanggah dengan kriteria seorang pemimpin yang berakhlak. Mereka mesti bijak berpolitik supaya menguntungkan agama, bangsa dan negara serta  prihatin terhadap kaum-kaum lain.

Oleh yang demikian mereka mesti segera keluar daripada tempurung kebodohan politik parti yang sempit dan singkat.  Mereka mesti berpolitik dalam skop yang luas untuk membentuk pemikiran politik  budaya dalam kalangan rakyat.

Pedulikan penulis-penulis upahan yang berkeliaran dan dibayar untuk menjaja individu tertentu.  Tanda aras dan garis akhlak pemimpin Islam untuk ditonjol sebagai Perdana Menteri bukan datang daripada penulis-penulis upahan.  Biarlah mereka bekerja kepada yang memberi upah.  Pengaruh pun tidak sebesar mana.

Sementara juak-juak yang  ‘serba pandai’  berkokok  dalam kumpulan Whatsapp sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku. Mereka penyokong @  pencacai yang pasif.  Mereka beku dalam tempurung yang disediakan oleh individu yang dijulang. Mereka tidak wajar dipersalahkan, lagi pun apalah yang hendak diharapkan  dari dalam tempurung kepala mereka.

Dalam politik kepartian,  banyak juga penyokong Islam yang memilih individu bukan Islam sebagai pemimpin mereka di peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.  Sepatutnya ini tidak berlaku sekiranya sejak dulu ada inisiatif dalam kalangan pemimpin politik Islam membina penyokong-penyokong dengan rekod peribadi dan akhlak yang boleh dicontohi.

Maaf cakaplah, politik parti negara kita sangat buruk dan huduh.  Pemimpin yang disahkan oleh mahkamah tidak berakhlak, tidak amanah pun masih terus dipilih.  Di negara bukan Islam seperti Amerika Syarikat (AS) boleh menolak pemimpin  seperti Bill Clinton yang tidak berakhlak, malulah Malaysia negara Islam menutup laluan kepada yang berakhlak dan membuka jalan kepada yang sebaliknya.