Malaysia Dateline

MP JB gesa bahas laporan tragedi kebakaran Hospital Sultanah Aminah

Susulan siasatan yang dilakukan terhadap ketua pengarang berita portal kesihatan CodeBlue berhubung laporan kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru beberapa tahun lalu, kerajaan digesa untuk membentang dan membahaskan laporan tersebut di Parlimen.

Untuk rekod, ekoran tragedi kebakaran di HSA pada 2016, satu jawatankuasa siasatan bebas telah ditubuhkan dan berjaya melengkapkan satu laporan setebal 225 muka surat yang kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jun 2018.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, sekiranya artikel yang diterbitkan oleh CodeBlue tidak tepat, sewajarnya hasil laporan jawatankuasa siasatan bebas tersebut dilaporkan kepada umum agar maklumat sebenar boleh diperoleh.

“Saya menggesa agar pihak kerajaan dapat membentangkan dan membahaskan laporan tersebut dalam persidangan Parlimen akan datang.

“Pada masa yang sama, pembentangan laporan secara terbuka adalah penting supaya ada ketelusan dan akauntabiliti.

“Sebagai anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), setiap laporan PAC yang dibentangkan akan disusuli dengan cadangan dan penambahbaikan, bersandarkan Peraturan Mesyuarat Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga hari lalu, Boo Su Lyn telah disoal siasat berkaitan penerbitan laporan yang memetik mengenai inkuiri bebas berhubung kes kebakaran HSA yang meragut enam nyawa pada 2016, yang belum lagi diumumkan kepada awam.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa Boo dipanggil ekoran laporan yang dikeluarkan oleh portal tersebut pada Mac lalu, di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan berkait dengan kebocoran maklumat.

Bagaimanapun, CodeBlue mempertahankan bahawa empat laporan yang disiar pada Mac itu dibuat atas kepentingan umum dan percaya siasatan polis dibuat untuk mengalih perhatian ke atas keputusan siasatan jawatankuasa.

Memperbaiki kelemahan

Sementara itu, Akmal berkata, memandangkan laporan itu telah siap sejak 2018, rakyat wajar dimaklumkan tindakan yang telah diambil bagi memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kesediaan menghadapi bencana kebakaran di hospital tersebut.

Jelasnya, walaupun kebakaran semalam telah disusuli dengan pembentukan jawatankuasa siasatan yang baru, beliau khuatir jika tiadanya locus standi atau kekuatan untuk memastikan ketegasan dan kepatuhan untuk memastikan tindakan susulan diambil.

Menurutnya lagi, melalui pembentangan dan perbahasan laporan tragedi kebakaran 2016 di Parlimen, ahli Dewan Rakyat boleh menjalankan semak dan imbang bagi mendesak kerajaan mengambil serius keadaan soal keselamatan dan kesejahteraan perkhidmatan kesihatan negara.

Ia termasuklah katanya, jika terdapat keperluan untuk dana dan peruntukan tambahan bagi penyelenggaraan dan naik taraf hospital dan klinik-klinik kesihatan kerajaan.

Semalam, sebuah blok menempatkan Wad Perubatan Perempuan 1 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) terbakar jam 3.08 petang dengan 24 pesakit wanita yang berada dalam wad itu sempat dipindahkan ke wad sementara sebelum ditempatkan ke wad berhampiran dan Hospital Permai.