Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid memohon maaf kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas mengaitkan Perdana Menteri dalam pemilihan PKR dan mendakwa ada cubaan menghalang peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menulis surat permohonan maaf itu selepas mendengar penjelasan serta arahan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Abdullah Sani, Anwar menghubunginya melalui telefon dan perbualan yang berlangsung selama 41 minit.
Bercakap kepada media di pejabatnya di Klang, beliau berkata, surat permohonan maaf itu sudah dihantar kira-kira pukul 9.40 pagi tadi ke pejabat Dr Mahathir.
“Setelah saya diberikan nasihat dan arahan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka saya memahami tentang pelaksanaan peralihan kuasa yang saya bangkitkan kebelakangan ini sehingga mengheret nama baik Perdana Menteri.
“Dengan ini, saya ingin memohon maaf atas ketelanjuran bicara dan semoga kebimbangan saya tentang usaha dan cubaan menggagalkan peralihan kuasa tersebut yang dimainkan peranannya oleh Tun adalah perkara tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.
Sebelum ini pemimpin Pakatan Harapan bersetuju menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dalam usaha menarik sokongan pengundi bagi mengalahkan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, sebelum ia diserahkan kepada Anwar.
Abdullah Sani yang merupakan sebahagian daripada kem Rafizi Ramli dalam menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden sebelum ini mengaitkan nama Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin dalam menggagalkan usaha peralihan kuasa kepada Anwar.