Malaysia Dateline

MP Kepong desak batalkan kompaun RM10,000 langgar SOP

Perikatan Nasional (PN) didesak untuk membatalkan denda RM10,000 terhadap mereka yang melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, kerajaan telah gagal memperincikan denda kesalahan itu sebelum melaksanakan ordinan tersebut.

Menurutnya, kompaun terbaru yang dilaksanakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 telah menimbulkan banyak kekeliruan dan diperdebatkan ramai orang kerana ianya membabitkan jumlah begitu besar.

“Soalan untuk ditanyakan kepada Takiyuddin: Mengapa perlu menunggu sehingga hari ini untuk memperincikan kompaun RM10,000 dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Kecemasan Covid-19? Bukankah ini sudah diputuskan lebih awal?

“Kerajaan PN perlu membatalkan semua kompaun RM10,000 yang dikeluarkan sebelum senarai kesalahan dicetak hitam putih oleh menteri yang bertanggungjawab, tidak kira siapa pun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Lip Eng berkata, tindakan kerajaan ini adalah satu lagi kes epik pemerintah PN yang tidak kompeten.

Ini kerana katanya, kerajaan kerap membuat pusingan U selepas berkali-kali mengumumkan langkah untuk memerangi Covid-19.

Tambahnya, keputusan kerajaan berhubung kompaun RM10,000 itu juga dilihat sebagai dasar setengah matang oleh PN yang menyusahkan rakyat biasa.