Malaysia Dateline

MP Kepong pelik Azmin dakwa ada rancangan jatuhkan Mahathir

Ahli Parlimen Kepong daripada DAP, Lim Lip Eng, hari ini menzahirkan rasa hairan dengan dakwaan Azmin Ali yang menyatakan terdapat rancangan untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sedangkan katanya, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah sebulat suara menyerahkan hal peralihan kuasa ke tangan Perdana Menteri sendiri.

“DAP sehingga hari ini, berdiri teguh menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Tidak seperti beliau yang berkali-kali merajuk dan melarikan diri daripada mesyuarat-mesyuarat PH sekiranya apa yang beliau mahu tidak dapat dicapai.

“Mungkin kerana itulah beliau tidak mengetahui pendirian rasmi Pakatan Harapan mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lip Eng turut menyifatkan bekas Timbalan Presiden PKR itu cuba untuk memutar-belit dengan cerita dongeng dan cuba untuk menjadi wira.

Padahal katanya, Azmin sebenarnya si musang berbulu ayam yang bernafsu besar sehingga sanggup mendakap erat perasuah-perasuah dan koruptor daripada Umno.

“Kalau pun Azmin benar-benar tidak boleh menerima kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau tidak perlu bersekongkol dengan Umno dan Pas yang selama ini pun tidak sunyi daripada mencela kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Saya menyarankan 10 ahli parlimen yang turut keluar daripada Keadilan bersama Azmin supaya turun ke kawasan dan berdepan dengan pengundi serta menjelaskan apa sebab mereka sanggup bergabung dengan Umno dan Pas. Itu pun kalau mereka berani.

“Mereka ini wajar memberikan penjelasan kepada pengundi masing-masing, kenapa mereka sanggup berkomplot dengan Umno dan Pas.

“Sekiranya gagal, mereka harus menerima hakikat bahawa mereka telah mengkhianati amanah rakyat, dan telah dengan mata terbuka bersubahat dengan musuh-musuh rakyat yang telah merompak negara dan menimbulkan perselisihan antara kaum selama ini demi kepentingan politik semata-mata,” katanya.

Semalam BH melaporkan, seramai 11 Ahli Parlimen mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengisytiharkan keluar parti dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Mereka yang keluar ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok) ,Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).