Malaysia Dateline

MP Kepong persoal polis halang rakaman video ahli Umany

Pihak polis tidak harus bimbang sekiranya rakaman video dan gambar siasatan disebarkan jika mengikut peraturan undang-undang, tegas Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng

Peguam berkenaan berkata,tindakan bekas Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Wong Yan Ke merakam serbuan polis di rumah Presiden persatuan itu, Robin Yap Wen Qing tidak menyalahi undang-undang.

Menurutnya, tindakan pada 7 November lalu itu tidak menimbulkan sebarang bentuk keganasan yang boleh mengganggu tugas penjawat awam.

“Persoalannya, jika tindakan serbuan atau sebarang siasatan polis mengikut peraturan undang-undang dan ‘nothing to hide‘, mengapa pihak PDRM risau jika rakaman video dan gambar siasatan polis itu disebarkan?

“Saya juga ingin bertanya kepada PDRM dan Jabatan Peguam Negara, jika benar tindakan tersebut menyalahi dan bertentangan dengan akta yang diperuntukkan, mengapa rakaman serbuan dan tangkapan dalam operasi-operasi yang dilakukan oleh pihak polis dibenarkan serta boleh disiarkan secara terbuka melalui berita, rancangan TV dan suratkhabar?” soalnya.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Lip Eng memohon agar pihak yang berkaitan memberikan penjelasan yang tepat berkenaan insiden tersebut bagi mengelakkan kekeliruan peguam dan kebimbangan rakyat.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengingatkan setiap siasatan adalah sulit dan tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya apatah lagi ditularkan di media sosial

Beliau berkata demikian susulan penahanan seorang lelaki Cina berusia 23 tahun yang membuat rakaman secara langsung menerusi Facebook (FB live) ketika serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya.

Polis sedang menyiasat kumpulan pelajar Umany ekoran hantaran bertajuk “YDPA should not interfere in national affairs” di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdapat lebih 40 laporan polis turut dibuat terhadap hantaran tersebut.