Malaysia Dateline

MP Kepong tawar RM10 ribu untuk maklumat bagi membolehkan penyamun ditangkap

Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, pihaknya menawarkan RM10,000 kepada sesiapa sahaja yang dapat memberikan maklumat sahih untuk membolehkan penyamun yang mencederakan seorang wanita baru-baru ini dapat ditangkap.

Beliau berkata, rakaman CCTV mengenai seorang wanita diperlakukan dengan kejam oleh seorang penyamun dalam sebuah lif di stesen MRT Taman Mutiara, Cheras pada Hari Kekasih (Velentine Day)14 Februari lalu kini tular di media sosial.

“Wanita berkenaan telah disamun tanpa belas sejumlah kira-kira RM400 beserta beberapa kad ATM.

“Pihak polis masih belum mengenal pasti identiti lelaki berkenaan. Adalah diharapkan dengan tawaran tunai ini boleh membantu penyamun berkenaan dapat ditangkap dengan segera,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Lip Eng, beliau sangat bimbang jika penyamun berkenaan tidak ditangkap, ia akan mempengaruhi penjenayah lain untuk melakukan tindakan serupa atau melakukannya di tempat-tempat lain pula.

Jelasnya lagi, berita kejadian ini membuatkan pelancong asing mengelak untuk datang ke Malaysia.

“Saya menyeru pada sesiapa sahaja yang memiliki maklumat sah mengenai keberadaan penjenayah berkenaan supaya datang ke pejabat saya di Kepong atau menghantar emel ke [email protected],” kata beliau.