Malaysia Dateline

MP kesal tindakan halang petugas media buat liputan sidang Parlimen

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil melahirkan rasa kesal dengan tindakan Parlimen yang menghalang terutama semua media online, dari menghadiri dan membuat liputan sidang Parlimen terutama pada ketika Belanjawan 2021 akan dibentang dan dibahas 2 November nanti.

Beliau berkata, inilah waktu paling penting untuk lebih banyak media hadir membuat liputan, kerana sidang ini akan memperlihat perbincangan dan perbahasan penggunaan wang ringgit rakyat bagi tahun akan datang.

“Dalam keadaan ekonomi yang suram dan negara dilanda wabak COVID-19, semestinya bagaimana Kerajaan mengurus perbelanjaannya akan menjadi perhatian semua.

“Sekiranya benar pihak Parlimen berpandangan ruang bagi petugas media tidak mencukupi, dan itu antara sebab utama Parlimen menghalang lebih banyak media dari hadir, saya percaya terdapat banyak ruang yang boleh diubahsuai menjadi tempat bagi petugas media.

“Sebagai contoh, sekiranya tempat media di aras bawah tidak mencukupi untuk memuatkan semua petugas media, bilik-bilik jawatankuasa di bangunan sementara, ruang di Dewan Rakyat sementara, malah juga bangunan pejabat Ahli-Ahli Parlimen boleh diubahsuai dengan mudah untuk membolehkan lebih ramai petugas media hadir tanpa melanggar SOP MKN dan KKM.

“Malah jika perlu, khemah khas seperti yang biasa didirikan untuk para VIP sewaktu program-program Kementerian di Parlimen boleh didirikan untuk menempatkan petugas media.

“Bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya.

Jsuteru beliau memohon agar Speaker Datuk Azhar Azizan Harun mempertimbang semula arahan yang dikeluarkan pentadbiran Parlimen ini, bukan sahaja demi kebebasan bersuara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga demi kemuliaan Dewan Rakyat itu sendiri.

Hanya 15 agensi berita dibenarkan

Parlimen Malaysia hanya menyenaraikan 15 agensi media yang dibenarkan untuk membuat liputan pada sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas dan Pembentangan Belanjawan 2021 bermula pada 2 November ini.

Dalam satu surat kepada ketua-ketua pengarang akhbar yang diedarkan hari ini, Parlimen memberitahu tindakan itu selaras dengan usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19 dan mematuhi SOP yang ditetapkan MKN dan KKM bagi memastikan sidang Parlimen berjalan dengan selamat.

Media yang dibenarkan membuat liputan adalah RTM, Bernama, TV Hijrah, TV3, New Straits Times, Berita Harian, Utusan, Sinar Harian, The Star, The Sun, Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Malaysia Nanban dan Channel News Asia.

Katanya, media yang disenaraikan perlu menghantar seorang wartawan dan jurufoto sahaja kecuali RTM dan Bernama.

Dalam masa yang sama katanya, setiap petugas media diwajibkan melakukan ‘swab test’ COVID-19 pada 30 Oktober dan menyerahkan keputusan ujian pada 2 November untuk diserahkan kepada petugas Parlimen.

Katanya, agensi media yang tidak disenaraikan disarankan menghubungi media rasmi kerajaan iaitu RTM dan Bernama untuk bahan berita masing-masing.