Malaysia Dateline

MP Kluang kecewa diarah beri keterangan walau tidak sertai protes

Wakil rakyat dari DAP, Wong Shu Qi berkata, beliau amat kecewa dan keliru dengan siasatan polis apabila diminta hadir bagi memberikan keterangan berkaitan protes Ahli Parlimen terhadap penangguhan Dewan Rakyat pada 2 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Kluang itu menjelaskan beliau sama sekali tidak berada di lokasi perhimpunan itu sebaliknya menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen.

Beliau menegaskan tawaran kompaun bagi kesalahan menyertai atau berada dalam perhimpunan di Dataran Merdeka pada tarikh itu merupakan satu dakwaan yang langsung tidak masuk akal.

Shu Qi dipanggil untuk dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah pada 8 September ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara.

Dalam kenyataan hari ini, pada hari protes tersebut, beliau disekat polis apabila tiba di lingkaran Jalan Tuanku Abdul Halim menuju ke Jalan Parlimen dan dileoncngkan ke jalan alternatif.

Justeru, katanya, polis jelas dimaklumkan senarai anggota PAC yang perlu hadir di Parlimen pada hari tersebut untuk menjalankan tugas.

Parlimen juga, katanya, memuat naik gambar prosiding PAC pada 2 Ogos 2021 di laman web rasmi.

“Namun, amat mengecewakan sekali apabila saya masih diberi notis oleh polis seolah-olahnya ada pihak tertentu telah memberi kenyataan palsu kononnya saya terlibat dalam perhimpunan di Dataran Merdeka.

“Adakah saya kini mempunyai ilmu ‘Kage Bunsin No Jutsu’ dari Naruto untuk mengklon diri saya berada di beberapa tempat pada masa yang sama?” soal Shu Qi secara sinis merujuk kepada anime terkenal Jepun, Naruto.