MP Kluang perjelas dakwaan hina tulisan jawi

MP Kluang perjelas dakwaan hina tulisan jawi
Wong Shu Qi- Foto Roketkini.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi kesal apabila penerangannya berkaitan isu pengenalan tulisan Jawi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dipetik luar daripada konteks sebenar oleh ahli politik MCA dan Umno.

Beliau mendakwa, pihak pembangkang bersekongkol memainkan sentimen perkauman dengan memutar belit ucapannya dalam satu dialog pada minggu lalu dengan mengaitkan tulisan jawi dan buku pornografi.

Ia susulan satu klip video selama 22 saat yang tersebar di media sosial semalam menunjukkan Ahli Parlimen DAP itu membuat penerangan dalam bahasa Cina sambil menayangkan beberapa gambar buku yang didakwanya sebagai buku lucah.

“Ucapan saya telah dirakam tanpa kebenaran oleh seorang pemimpin MCA yang turut hadir. Selepas itu, Naib Pengerusi Pemuda MCA Kluang, Joan Ng telah memuatnaik rakaman tersebut ke akaun media sosialnya dengan komen dalam bahasa Cina yang bermaksud, ‘Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi menyokong Tulisan Jawi’.

“Rakaman video tersebut kemudiannya dipadamkan selepas cybertrooper UMNO pula memetik sebahagian rakaman itu untuk menfitnah saya menghina Jawi.

“Dengan merujuk kepada ucapan saya yang sama, MCA mendakwa saya menyokong tulisan Jawi dengan tujuan menghasut orang Cina, manakala UMNO pula mendakwa saya menghina tulisan Jawi dengan tujuan menghasut orang Melayu. Begitu terang lagi bersuluh permainan politik jahat mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, beliau menerangkan bahawa tulisan Jawi digunakan sebagai sistem tulisan Bahasa Melayu sebelum tahun 1956 dan telah digunakan untuk menulis pelbagai jenis bahan bacaan serta tidak terhad kepada penulisan agama Islam sahaja.

Beliau berkata, penerangan tersebut bertujuan menjelaskan kekeliruan pelbagai pihak yang mendakwa pengenalan tulisan Jawi oleh KPM merupakan suatu taktik pengIslaman.

Malah katanya, dalam pembentangan tersebut, beliau menggunakan tiga slide untuk menjelaskan hujah tersebut melalui sejarah penggunaan tulisan Jawi.

“Dalam slide pertama, saya menerangkan bahawa tulisan Jawi adalah tulisan untuk Bahasa Melayu sebelum tulisan Rumi diperkenalkan. Justeru, tulisan Jawi pernah digunakan untuk mengarang kitab agama Kristian pada abad ke-19.

“Slide kedua pula memberikan contoh bahan-bahan bacaan lain yang menggunakan tulisan Jawi, termasuk bahan bacaan pornografi.

“Dalam slide ketiga, saya telah menerangkan bahawa walaupun ada penganut agama Buddha yang menulis kaligrafi bahasa Cina bagi mempersembahkan manuskrip agama Buddha, namun, hampir tiada orang yang akan beranggapan bahawa kaligrafi Cina adalah untuk kegunaan agama Buddha sahaja,” ujarnya.