Malaysia Dateline

MP Kota Kinabalu seru pemimpin GRS kaji punca lima kawasan paling tidak bahagia

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin menyeru seluruh pemimpin kerajaan Sabah yang diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meneliti hasil Indeks Kebahagiaan 2022.

Wakil rakyat DAP itu berkata, dalam masa sama Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) harus turut berbuat demikian memandangkan ibu negeri itu berada di tangga kedua terendah dalam indeks tersebut.

Beliau menegaskan penelitian kerajaan negeri dan DBKK perlu dilakukan bagi mendapatkan jawapan mengapa Malaysia Timur dan Sabah menyumbang separuh daripada 10 bandar dengan indeks kebahagiaan terendah di negara ini.

Chan Foong Hin

Untuk rekod, Indeks Kebahagian 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) itu menyenaraikan lima bandar di Sabah yang tercorot.

Dua daripadanya kawasan bandar iaitu Kota Kinabalu dan Sandakan; Beaufort (kawasan separuh bandar) manakala Beluran merupakan kawasan luar bandar.

“Saya perlu mengatakan bahawa saya kehilangan kata-kata dengan keputusan laporan indeks ini. Dalam 10 bandar teratas yang mempunyai indeks kebahagiaan paling rendah di negara ini, lima daripadanya adalah daerah, bandar atau perbandaran di Sabah iaitu Beaufort, Kota Kinabalu, Sandakan, Labuan dan Beluran.

“Apakah sebab mengapa penduduk di kawasan yang berbeza ini tidak berasa lebih bahagia berbanding kawasan lain seperti Putatan?

“Apa yang Putatan ada yang tiada di kelima-lima kawasan terbabit?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Foong Hin mempersoalkan bagaimana bandar Kota Kinabalu yang hanya berjarak kira-kira 13 kilometer dari Putatan mempunyai indeks kebahagiaan kedua terendah di negara ini iaitu 70.76 peratus selepas Beaufort (65.04 peratus) yang berjarak 97 kilometer dari Kota Kinabalu.

“Saya tertanya-tanya apakah piawaian yang digunakan dalam pengukuran kebahagiaan dalam kalangan daerah, bandar atau perbandaran di Sabah.

“Mengapa terdapat perbezaan yang besar dalam data antara satu dengan yang lain? Mengapa rakyat Putatan nampaknya berasa sangat gembira, sedangkan kebahagiaan penduduk di Beaufort, Kota Kinabalu, Sandakan, Labuan dan Beluran nampaknya jauh lebih rendah secara perbandingan?” soalnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berpendapat penduduk di Kota Kinabalu mungkin tidak bahagia dengan pelbagai perkara termasuk pengangkutan awam yang sesak, masalah lalu lintas, banjir kilat yang kerap dan kerap mengalami gangguan bekalan air.

Selain itu, penduduk Kota Kinabalu juga, jelasnya berdepan dengan masalah gangguan bekalan elektrik yang kerap dan mengejut selain jurang kekayaan yang semakin melebar serentak dengan isu pengangguran belia yang tinggi.

Menurutnya lagi, Indeks Bahagia di Kota Kinabalu yang corot juga berpunca daripada masalah kos sara hidup yang tinggi.

“Semua perkara sebegitu perlu dibimbangkan, mungkin itulah sebabnya orang di Kota Kinabalu tidak mempunyai alasan untuk bahagia,” katanya lagi.

Baca Apa ‘modal’ isu semasa sembang raya? Ini 7 fakta boleh dikongsi bersama sanak saudara, rakan taulan

Baca 10 perkara tentang lelaki setiap wanita WAJIB tahu