Malaysia Dateline

MP Kota Raja sediakan dobi percuma untuk mangsa banjir

Pelbagai cara pemimpin parti yang prihatin membantu penduduk yang menghadapi banjir di kawasan mereka. Ada yang mengembirakan kanak-kanak dengan permainan, ada yang sediakan lampin pakai buang dan sebagainya.

Mangsa banjir mendaftarkan diri untuk menggunakan khidmat dobi percuma yang disediakan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Raja, Haji Mohamad Sabu.

Bagi Ahli Parlimen Kota Raja, Haji Mohamad Sabu, antara khidmat yang diberikan oleh pejabat beliau adalah perkhidmatan dobi percuma.

Ini berikutan ramai mangsa banjir yang berhadapan dengan masalah pakain yang kotor dan basah selepas ditenggelami air.

“Hari ini Pejabat Ahli Parlimen Kota Raja melancarkan khidmat dobi pakaian secara percuma bagi warga Kota Raja yang terbabit dalam musibah banjir,” umum Mohamad Sabu malam tadi.

Menurut beliau, pejabat khidmat mereka menyediakan dua orang petugas untuk menyantuni warga yang memerlukan di kedai dobi yang terpilih.

“Alhamdulillah ada para dermawan yang sudi menyumbang bagi meringankan bebanan penduduk kerana kebanyakan mereka masih terputus bekalan elektrik.

“Program dobi percuma ini akan berlangsung sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” kata beliau menerusi facebooknya.

Dua hari lepas, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menerima dua kontena lampin pakai buang jenama Drypers untuk diagihkan kepada mangsa banjir di kaswasan beliau.

Di Sepang, Mohamed Hanipa Maidin pula mengagihkan barangan permainan untuk kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir untuk mengembirakan mereka yang kesejukan selain makanan dan pakaian.