Malaysia Dateline

MP Kota Raja terus santuni mangsa banjir, 200 pek makanan diedar

Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu terus menyantuni mangsa bah dengan menyampaikan sumbangan kit pembersihan dan wang makan tengah hari bagi setiap keluarga yang dilawati.

Presiden AMANAH tersebut berkata, tinjauannya hari ini mendapati masih ramai yang membersihkan rumah masing-masing yang berlumpur kesan banjir besar minggu lalu.

“Saya ziarah mereka, sampaikan kit pembersihan dan berikan sedikit sumbangan duit makan tengah hari bagi setiap keluarga yang dilawati.

“Jika kita tidak mampu membantu dalam semua perkara, sebahagian pun sudah memadai,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Dalam masa sama, Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan melawat Dapur Rakyat yang digerakkan oleh Pemuda AMANAH bersama pasukan Sukarelawan Selangor di Pejabat MPP Zon 3 MBSA Seksyen 7.

“Semangat saya melihat anak-anak muda yang bertungkus-lumus menyediakan dan membungkus juadah untuk mangsa-mangsa banjir secara sukarela dan diagihkan ke kawasan Kota Raja, Shah Alam dan Puchong,” katanya.

Sementara itu, Sukarelawan Parlimen Kota Raja menyediakan 200 pek makanan tengah hari untuk mangsa banjir yang masih mendiami pusat pemindahan sementara (PPS) Bukit Lanchong.

“Terima kasih di atas keprihatinan tuan puan yang budiman kerana memberikan sumbangan,” kata Mohamad lagi.

Sukarelawan Parlimen Kota Raja menyediakan 200 pek makanan tengah hari untuk mangsa banjir di PPS Bukit Lanchong.