Malaysia Dateline

MP Kuala Langat pula keluar PKR sokong PN

Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar mengumumkan keluar parti dan menyokong PN selepas dua ahli parlimen Larry Sng Wei Shien dan Steven Choong Shiau Yoon berbuat demikian pada akhir Februari baru-baru ini.

Dalam kenyataanya, Ahli Parlimen Kuala Langat yang menyertai parti itu sejak 1998 berkata keputusannya  berkuat kuasa serta merta.

Beliau juga memaklumkan pendiriannya sebagai ahli Parlimen bebas kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu surat rasmi bertarikh 12 Mac.

“Saya akan terus terus berkhidmat di kawasan saya dan menyokong kerajaan sebagai ahli parlimen bebas dan saya akan penuhi janji-janji pilihan raya kepada rakyat di Kuala Langat,” katanya. dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ketika ini tidak sesuai untuk diadakan pilihan raya walaupun ramai pihak sedang membincangkan kemungkinan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

“Keutamaan kita saat ini adalah untuk menyokong pemerintah dalam menahan pandemik Covid-19, menciptakan pekerjaan dan mendapatkan dana untuk membangun kembali ekonomi,” katanya.

Beliau menegaskan negara sekurang-kurangnya memerlukan tempoh selama 18 bulan hanya untuk menyelesaikan program vaksinasi dan lebih dari  dua tahun untuk ekonomi pulih sepenuhnya.

“Ini memerlukan sokongan bipartisan, untuk memastikan usaha pemerintah dipenuhi. Rakyat mahukan kestabilan dan memulakan semula sektor ekonomi kita yang sakit.

“Untuk itu, kita perlu bekerjasama, bukan saling menentang,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Julau (Sarawak) Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau (Johor) Steven Choong menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.