Malaysia Dateline

MP Kubang Pasu pula hantar usul undi tidak percaya kepada PM

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah telah menghantar notis usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Oktober lepas.

“Saya telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berkenaan Usul Tidak Percaya terhadap YAB Perdana Menteri bertarikh 15 Oktober 2020 untuk sesi sidang parlimen yang akan datang.

“Usaha ini adalah demi menjunjung prinsip mengembalikan mandat rakyat dalam PRU14 dan solidariti atas sebuah kerajaan yang tidak kompeten dan stabil.

“Bagaikan telur di hujung tanduk,” kata Amiruddin, penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad itu dalam satu kenyataan medianya.

Justeru, beliau memohon membuat ketetapan membawa usul berkenaan di bawah peraturan mesyuarat 26 (1) dibaca bersama peraturan mesyuarat 27 (3) dalam peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Menurut peruntukan 15(5) dalam peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, saya ingin membawa Usul Tidak Percaya pada persidangan mesyuarat yang akan datang bermula 2 November 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin sebanyak dua kali enggan membenarkan usul yang dicadangkan untuk dibahaskan, dengan cara menyenarainya di penghujung senarai perbahasan.

Justeru, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah telah meminta agar Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dikemukakan di dalam Dewan.