Seorang ahli parlimen pembangkang hari ini mencadangkan sebuah hotel di Langkawi milik Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISB) dijadikan muzium ajaran sesat.
Ahli Parlimen Langkawi Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata muzium itu boleh mendidik orang ramai, paling penting kanak-kanak.
“Saya melihat sama ada terdapat muzium mengenai agama sesat, tetapi tidak menemuinya. Saya hanya menemui muzium Dracula di Romania dan England.
“Berdasarkan kes-kes baru-baru ini (melibatkan GISB), saya menyedari bahawa kita tidak mempunyai tempat untuk merujuk tentang agama sesat di sini.
“Terdapat agama lain yang menyimpang, seperti Aum Shinrikyo yang diasaskan oleh Shoko Asahara dan Order of the Solar Temple.
“Saya mencadangkan sebuah hotel di Langkawi milik GISB dipertimbangkan untuk dijadikan muzium agama sesat sekiranya tiada lokasi lain yang sesuai.
“Saya cadangkan menteri agama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar) meneliti perkara ini. Ambil alih (hotel) dan jadikan muzium agama sesat.
“Ini (muzium) bukan sahaja boleh menjadi rujukan orang luar, lebih penting lagi, ia dapat memberikan pendidikan yang berharga kepada anak-anak,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025.
baca: Firdaus Wong dedah sikap tok kadi ‘buli’ pengantin, siap ugut nak batalkan pernikahan