MP Langkawi digesa mohon sembah keampunan Yang di-Pertuan Agong

MP Langkawi digesa mohon sembah keampunan Yang di-Pertuan Agong

Ahli Parlimen Langkawi, Dato’ Ir Nawawi Ahmad diminta agar segera insaf dan memohon sembah keampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dengan segera kerana menulis di laman Facebook miliknya perkara yang jelas menghina baginda.

Beliau dilaporkan menulis bahawa Malaysian Official 1 (MO1) yang disebut oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sebenarnya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan bukannya Dato’ Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan oleh bekas menteri besar Kedah, Dato Seri Mukhriz Tun Mahathir bersama Adun pembangkang lain, mereka melahirkan rasa terkejut dengan dakwaan Ahli Parlimen berkenaan.

“Ini adalah satu dakwaan yang sangat tidak bertanggungjawab, tidak rasional sama sekali, dan tidak sepatutnya diungkap oleh seorang anak Kedah yang bergelar “Yang Berhormat Ahli Parlimen”.

Tidak ada seorang pun Rakyat Malaysia yang mempercayai dakwaan yang tidak lojik itu,” kata kenyataan itu.

Kumpulan itu dengan tegas menuntut agar Nawawi segera insaf dan memohon sembah keampunan daripada Yang di-Pertuan Agong atas tuduhan itu kerana ianya telah mencemar nama baik Kebawah Duli Tuanku dengan mengaitkan Baginda dengan skandal mega 1MDB seperti yang diumum oleh pihak DOJ.

“Selain itu, kami mendesak agar Nawawi juga memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah berusaha untuk menipu Rakyat bahawa kononnya Najib Razak bukannya MO1 yang dimaksudkan oleh DOJ.

“Segala butiran serta sifat-sifat yang dikaitkan dengan MO1 seperti yang disenaraikan oleh DOJ mengukuhkan dakwaan bahawa Najib Razak adalah MO1.

“Tiada putar belit konco-konco dan jentera propaganda Najib, termasuk kenyataan Nawawi tersebut, boleh meyakinkan Rakyat bahawa Najib bukan MO1 yang dimaksudkan,” katanya.

Kumpulan berkenaan turut mendesak agar Najib Razak menghentikan semua penipuan yang menjelekkan, segera undur sebagai Perdana Menteri, sekaligus menamatkan kemelut dan krisis yang membelenggu negara.

TAGS