MP: Larang kapcai masuk bandar bukti menteri pemalas

MP: Larang kapcai masuk bandar bukti menteri pemalas

Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor mesti memohon maaf kerana menuduh penunggang motosikal berkapasiti enjin kecil atau ‘kapcai’ sebagai pencemar alam sekitar dan menggelar sebahagian mereka sebagai peragut.

“Adnan dan pegawai-pegawainya yang menggunakan khidmat pemandu ke sana ke mari, pastinya tidak akan mahu meredah hujan dan panas terik, selain menanggung risiko terkorban dilanggar kenderaan, seperti para penunggang kapcai.

Malah para penunggang kapcai pun tidak akan memilih untuk menunggang kapcai sekiranya ada pilihan yang lebih baik.

“Adnan mesti memohon maaf kepada ribuan penunggang kapcai termasuk pegawai-pegawainya sendiri di DBKL, kerana telah bercakap ikut sedap mulut,” kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dari DAP alam satu kenyataan kepada media.

Semalam, Adnan dilaporkan berkata pihaknya akan melaksanakan larangan motosikal kapcai memasuki Kuala Lumpur sekiranya harga tambang pengangkutan awam berpatutan.

Bagaimanapun Adnan berkata kajian masih dilakukan memandangkan mereka yang menggunakan motosikal terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata motosikal jenis kapcai juga digunakan oleh peragut di ibu kota itu.

Lim berkata, cadangan itu juga membuktikan Adnan dan kementeriannya adalah pembuat dasar yang pemalas dan menunjukkan kementerian ini tidak relevan dan melakukan pertindihan kerja serta membazir dana.

Sedangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mampu melakukan tugas-tugas kementeriannya.

“Adnan sepatutnya juga menggunakan segala kuasa dan pengaruh yang ada untuk memastikan harga tiket LRT dan MRT lebih murah, dengan pilihan pas mingguan atau bulanan pada harga diskaun.

“Ini sebenarnya yang akan lebih menarik minat para penunggang kapcai untuk meninggalkan motosikal mereka di rumah,” katanya.

Beliau juga berkata, di negara-negara maju, pengangkutan awam adalah selamat, pantas dengan harga berpatutan dan tidak mengecewakan menyebabkan rakyatnya tidak menunggang kapcai.

Ini katanya sangat berbeza dengan situasi di Kuala Lumpur.

“Meskipun begitu, tidak ada mana-mana ibu kota utama dunia, termasuk Bandaraya New York, London malah Tokyo yang melarang penggunaan kapcai kerana kononnya ia langkah mengurangkan kadar pelepasan karbon.

“Larangan sedemikian juga tidak dilakukan di Bangkok atau Jakarta, bandar-bandar yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Menurut Lim juga, menyelesaikan masalah perubahan iklim dengan mengurangkan pelepasan karbon, akan menuntut keputusan dan pendirian politik yang dibuat secara tepat, dan bukan dengan sesuka hati menyalahkan penunggang kapcai.

“Malah seharusnya cukai jalan bagi kenderaan 3000cc ke atas sewajarnya dinaikkan memandangkan kenderaan jenis ini adalah kenderaan yang paling kuat ‘makan minyak’ dan selalunya dimiliki oleh golongan berpendatan tinggi.

“Kerajaan sepatutnya secara berperingkat menggunakan tenaga elektrik hijau daripada sumber boleh diperbaharui seperti solar, angin dan ombak; daripada menggunakan sumber tenaga kotor daripada minyak, gas asli dan arang batu,” katanya.

 

COMMENTS

Wordpress (0)