Malaysia Dateline

MP Lembah Pantai nasihat duduk rumah putus rantaian jangkitan

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan susulan kebimbangan terhadap peningkatan ancaman Covid-19 di kawasan itu.

Ia selepas Lembah Pantai direkodkan sebagai daerah kedua tertinggi kes Covid-19 di negara ini dengan keseluruhan sebanyak 90 kes selepas Petaling Jaya.

Fahmi berkata, pada ketika ini, orang ramai dinasihatkan tidak keluar tanpa urusan penting dan menyarankan hanya ketua isi rumah yang keluar untuk membeli barang keperluan.

“Pada masa sama, saya pohon warga Lembah Pantai agar tidak bersangka buruk atau memulaukan mana-mana komuniti termasuk jemaah tabligh, kerana mereka juga sebahagian dari komuniti kita.

“Sila jangan sebar maklumat peribadi mereka yang disyaki atau disahkan positif Covid-19.

“Kepada jemaah tabligh yang hadir program tabligh di Masjid Seri Petaling pada hujung Februari yang lalu, atau kontak rapat, jika anda terima notis dari KKM untuk buat saringan, sila beri kerjasama penuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR, turut menasihatkan orang ramai yang disyaki bergejala seperti demam panas, batuk dan sesak nafas, agar segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Sementara itu, beliau berkata, rakyat Malaysia dan warga Lembah Pantai khususnya diharapkan dapat mengamalkan jarak sosial dan hanya menyebarkan maklumat yang sahih.

“Sentiasa amalkan budaya membasuh tangan dengan sabun selama sekurang-kurangnya 20 saat.

“Saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi lain untuk mengawal keadaan serta menjamin wabak ini terkawal,” kata Fahmi lagi.