Malaysia Dateline

MP lompat: Khalid bimbang rakyat hilang kepercayaan, sistem demokrasi hancur

Tindakan Ahli Parlimen (MP) yang keluar dari Pakatan Harapan (PH) atau lompat parti dibimbangi menjejaskan keyakinan pengundi dalam jangka panjang terhadap amalan demokrasi di negara ini.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, keputusan segerombolan MP PH yang meninggalkan PH lalu membentuk kerajaan baharu sejurus peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri (PM) pada Februari lalu tidak wajar berlaku.

Beliau berpendapat sepatutnya pengganti Mahathir diputuskan memandangkan pada zaman kerajaan BN sebelum ini pun soal PM meletak jawatan adalah perkara yang lumrah berlaku.

“Kalau Tun (Mahathir) letak jawatan pun, mengapa kamu keluar dari PH? Mengapa kamu tidak duduk balik bersama rakan-rakan PH, bersama Majlis Presiden dan Tun untuk bincang siapa pengganti kepada Tun?

“Soal PM letak jawatan perkara biasa. Bila Tun dulu letak jawatan, BN kekal sebagai kerajaan memerintah kerana tiada MP yang lompat (parti).

“Soal PM letak jawatan perkara biasa. Bila Tun dulu letak jawatan, BN kekal sebagai kerajaan memerintah kerana tiada MP yang lompat (parti).

“Bila Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) letak jawatan, BN juga terus memerintah kerana tiada yang khianat dan lompat. Maka mereka bincang siapa PM dan putuskan Najib Razak.

“Bila Tun letak jawatan kalau PH tidak pecah dan tiada pengkhianat yang lompat membawa bersama mereka MP dan membentuk satu gerombolan yang kononnya mempunyai jumlah majoriti ahli Parlimen, maka mereka tidak melakukan pengkhianatan itu dan membentuk kerajaan yang baru,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam slot, “PM Pakatan Harapan Plus: Ulasan YB Khalid” yang dimoderatorkan Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh secara langsung menerusi Facebook AMANAH Kedah malam tadi.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pendekatan BN dalam mencari pengganti PM sekali gus tidak menjejaskan kedudukan sebagai blok kerajaan tidak berlaku dalam kerajaan PH ketika Mahathir meletak jawatan pada Februari lalu.

“Tetapi malangnya bukan itu yang berlaku. Inilah yang cukup kita khuatir akhirnya rakyat hilang kepercayaan.

“Tak guna mengundi si polan untuk bersama PH sebab bila sudah berkuasa dia (MP) boleh jual diri, khianat, lompat dan membentuk kerajaan lain.

“Akhirnya orang hilang kepercayaan pada sistem demokrasi sebab akhirnya orang yang dimenangkan tidak dengar cakap pengundi. Dia lompat ikut suka dia,” tegasnya.

Tebuk atap

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu selanjutnya bimbang sekiranya trend lompat parti selepas diberi mandat berlaku akan menghancurkan sistem demokrasi pilihan raya di negara ini.

“Orang tawarkan RM2 juta, RM10 juta, dia lompat. Inilah yang menjadi kekhuatiran kita. Sekiranya ini merupakan satu kebiasaan, maka sistem demokrasi itu akan hancur.

“Orang anggap tidak guna mengundi. Pengundi sudah hilang kepercayaan kerana adanya gejala pintu belakang yang kemudiannya dibetulkan dengan bangga (oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebagai tebuk atap.

“Dia (Abdul Hadi) tanpa menyedari rasa bangga kepada pengkhianatan yang dilakukan terhadap rakyat,” selar bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi.